KDNK Suku Pertama 2020 Malaysia Berkembang Sederhana Susulan COVID-19, PKP

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih sederhana iaitu 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 berbanding dengan 4.5 peratus semasa suku yang sama tahun lepas, susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah terjejas berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata selepas mencatatkan pengembangan stabil pada dua bulan pertama tahun ini, aktiviti ekonomi mengalami penyusutan mendadak berikutan PKP mulai 18 Mac.

“Sekatan pergerakan termasuk sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik, pengehadan kerja dan tempoh operasi serta penjarakan sosial wajib telah amat membataskan aktiviti ekonomi.

“Pengeluaran hanya dibenarkan untuk barang dan perkhidmatan penting serta industri penting bersama rantaian bekalan mereka. Sektor berintensifkan pekerja dan berorientasikan pengguna turut terjejas,” menurut bank pusat dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 hari ini.

Semasa tempoh tersebut, BNM berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana pada kadar 0.9 peratus, mencerminkan terutama luputnya baki kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta inflasi barangan harganya yang tidak menentu yang lebih rendah manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.3 peratus.

Bagi perkembangan kadar pertukaran, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2020, berikutan aliran keluar portfolio bukan pemastautin yang besar dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion (US$6.3 bilion) susulan aktiviti penghindaran risiko yang semakin meningkat di peringkat global.

BNM berkata perkembangan ini adalah sejajar dengan negara-negara serantau yang berada dalam keadaan ketidakpastian mengenai tempoh dan tahap keseriusan pandemik COVID-19 dan kesannya ke atas ekonomi.

“Hasil daripada penghindaran risiko yang berterusan dalam pasaran kewangan global dan permintaan untuk aset selamat, Malaysia terus mengalami aliran keluar portfolio bukan pemastautin dan ringgit menyusut nilai sebanyak 5.8 peratus berbanding dengan dolar AS pada 2020 (setakat 12 Mei).

“Memandangkan persekitaran yang tidak pasti ini akan berterusan dalam jangka terdekat, volatiliti aliran modal dan kadar pertukaran juga dijangka berlanjutan,” kata BNM.

Sementara itu, bank pusat berkata pembiayaan bersih berkembang pada kadar yang mampan pada asas tahunan sebanyak 4.7 peratus disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi.

BNM berkata sejak Kemudahan Bantuan Khas (SRF) disediakan pada 6 Mac, 2020 institusi kewangan peserta (PFI) bersama-sama BNM telah melaksanakan bantuan tersebut dengan segera bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh manfaat dengan cepat.

Setakat 4 Mei, 2020 PFI telah meluluskan lebih 20,000 permohonan dengan nilai berjumlah kira-kira RM10 bilion, kata bank pusat.

Permintaan terhadap SRF adalah sangat menggalakkan dan peruntukan sebanyak RM5 bilion yang diumumkan sebelum ini telah digunakan sepenuhnya dengan cepat, yang akan memberikan manfaat secara langsung kepada 9,000 PKS di seluruh Malaysia serta mengekalkan lebih 200,000 pekerjaan.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi lebihan permohonan yang telah diluluskan oleh institusi kewangan peserta setakat 4 Mei, 2020,” kata BNM.

Pada suku pertama 2020, institusi kewangan telah mengeluarkan secara keseluruhan RM62 bilion bagi pembiayaan kepada PKS dan daripada jumlah itu, sebanyak RM48 bilion untuk tujuan modal kerja.

Bank pusat berkata seterusnya, apabila langkah-langkah pembendungan dikurangkan dan PKP dalam negara ditarik balik, aktiviti ekonomi Malaysia dijangka meningkat secara berperingkat pada separuh kedua 2020.

“Langkah fiskal, monetari dan kewangan yang besar dan kemajuan dalam projek infrastruktur awam yang berkaitan dengan pengangkutan akan memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan pada separuh kedua 2020.

“Sejajar dengan pertumbuhan global yang diunjurkan meningkat, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pemulihan yang positif pada 2021,” kata BNM.

Bank pusat turut berkata purata inflasi keseluruhan pada 2020 mungkin mencatatkan pertumbuhan negatif, disebabkan terutama oleh unjuran harga minyak dunia yang jauh lebih rendah.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.