PKPB: Nasihat Dan Amaran Berakhir, PKP Boleh Diperkenal Semula – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 12 Mei – Kerajaan memutuskan fasa nasihat dan amaran berakhir hari ini dan mereka yang didapati melanggar peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan di bawah PKPB atau berhadapan pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

Beliau berkata ini ekoran Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan banyak kes ketidakpatuhan terhadap peraturan dan SOP sewaktu pemeriksaan dijalankan di seluruh negara.

“Oleh itu, PDRM diberikan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan dan SOP di bawah PKPB ini,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata penamatan PKPB tertakluk pada pematuhan rakyat dan jika tahap pematuhan terhadap PKPB rendah, tidak mustahil PKP diperkenalkan semula dan pergerakan rakyat kembali terbatas.

Ismail Sabri berkata beliau sendiri menerima gambar yang tular menunjukkan rakyat Malaysia berpusu-pusu di tempat tumpuan ramai tanpa menjaga jarak sosial.

“Semalam saya terima gambar kesesakan orang membeli makanan di Kampung Pandan, saya ingatkan ianya fake (palsu), tetapi bila saya tanyakan Ketua Polis Negara, ternyata ia benar berlaku, ternyata masih ramai rakyat yang ingkar untuk mematuhi SOP PKPB,” katanya.

Tegas beliau, undang-undang di bawah Akta 342 masih berkuat kuasa dan kelonggaran yang diberi adalah bagi memastikan rakyat mematuhi SOP.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi laporan operasi pematuhan dengan sebanyak 53,250 pemeriksaan telah dijalankan semalam.

“Sebanyak 4,229 pasar raya, 3,795 restoran dan 1,473 kilang serta 2,833 bank telah diperiksa,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.