Fitnah: Menteri Kesihatan Tuntut Mohon Maaf, Bayar RM30 Juta Atas Dakwaan Kontrak KKM

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba mengemukakan surat tuntutan ganti rugi RM30 juta terhadap Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), dan membuat permohonan maaf secara terbuka, ekoran mengaitkannya dengan sebuah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas satu kontrak dengan nilai sama.

Dalam surat itu, peguam Dr Adham, Nasser Yusof berkata, NGO itu mempunyai tujuh hari untuk membayar RM30 juta dan membuat permohonan maaf secara terbuka, jika gagal berbuat demikian, mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap NGO itu.

Namun begitu, cubaan untuk menyerahkan surat tuntutan itu kepada C4 Consultancies Sdn Bhd iaitu syarikat C4 beroperasi, gagal kerana pejabatnya di ditutup hari ini.

Nasser menampal surat tuntutan pada penutup premis di pejabat C4 di Petaling Jaya dan berharap NGO tersebut akan menjawab tuduhan terhadapnya.

Terdahulu difahamkan peguam terbabit telah cuba menghantar surat itu ke alamat di Brickfields yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan jika gagal mereka akan ke alamat setiausaha syarikat itu di Gombak.

“Tuntutan C4 ialah fitnah. Mereka membayangkan menteri itu korup dan ini merosakkan imej baiknya.”

Semalam, Dr Adham telah menafikan dakwaan C4 dengan menyifatkannya cubaan berniat jahat untuk membunuh karakternya.

Satu kenyataan berkata, Dr Adham tiada kepentingan perniagaan dalam Khazanah Jaya Sdn Bhd yang dinamakan C4 atau sebarang hubungan dengan pemegang sahamnya.

C4 mendakwa Adham mempunyai kaitan dengan firma itu melalui seorang pemegang saham dalam syarikatnya yang memiliki rangkaian klinik swasta di Johor.

Dalam hal tersebut, Setiausaha Politik Dr Adham iaitu Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin, turut menunjukkan salinan surat tuntutan yang dihantar kepada C4.
Katanya, pemegang saham itu menganggotai lembaga pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang termasuk dua pengarah dari Khazanah Jaya.

Namun demikian, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pemegang saham itu, Iskandar Miza Ahmad, meninggalkan lembaga pengarah SANSB pada 30 Jan 2015, manakala 2 pengarah Khazanah Jaya, Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui, hanya menyertai SANSB pada hari terakhir Iskandar berada di syarikat terbabit.

SPRM melancarkan siasatan ke atas beberapa kontrak yang didakwa diberikan selepas rundingan langsung KKM untuk pemerolehan peralatan bagi menangani penularan Covid-19. Peralatan itu termasuk kit ujian dan alat perlindungan.

Dalam laopran sebelum itu, agensi anti-rasuah telah menafikan laporan mendakwa beberapa pegawai KKM ditahan dalam serbuan berhubung perkara itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.