19 Adun Kedah Hilang Kepercayaan Terhadap Mukhriz

ALOR SETAR, 12 Mei – Seramai 19 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah hari ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata mereka merangkumi 15 ADUN PAS, dua UMNO dan dua lagi ADUN PKR yang mengumumkan keluar parti tengah hari tadi iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).

Bercakap pada sidang media mengenai perkara itu yang turut dihadiri kesemua 19 ADUN berkenaan, Muhmmad Sanusi mendakwa empat ADUN Bersatu juga menyatakan telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz.

Mereka ialah Juhari Bulat (Ayer Hangat), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), katanya.

“Atas kesepakatan bersama 19 daripada 23 ADUN yang hadir hari ini, kami bersetuju untuk membentuk kerajaan baharu atas nama kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menurutnya kumpulan itu kini menunggu untuk menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menubuhkan kerajaan baharu.

“Untuk proses seterusnya terserah kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menetapnya (tarikh),” katanya yang yakin proses tersebut akan selesai sebelum 18 Mei.

Mengenai calon menteri besar, Muhammad Sanusi berkata pakatan itu sudah menghantar satu nama untuk pertimbangan peringkat pusat.

Mengenai empat ADUN Bersatu yang tidak hadir pada sidang media itu, mereka didakwa ke ibu negara untuk berjumpa dengan Perdana Menter Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan sokongan kepada beliau.

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Mukhriz mempunyai 19 kerusi iaitu PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4) dan DAP (2), manakala PAS mempunyai 15 kerusi dan UMNO dua.

Bagaimanapun, tengah hari tadi dua ADUN PKR umum keluar parti. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.