UMNO Mesti Tahan Lasak, Utamakan Perpaduan Dan Tolak Kepentingan Agenda Peribadi – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO mesti tahan lasak dan pada masa yang sama mengutamakan perpaduan serta menolak kepentingan untuk agenda peribadi masing-masing.

Menurut beliau parti akan terus diuji dan akan terus diserang daripada luar namun yang paling membahayakan apabila parti dipecahkan daripada dalam dan cukup-cukuplah kerana perjalanan yang akan ditempuh masih panjang dan berliku.

“Kita akan terus diuji, kita akan diserang dari luar tapi yang paling bahaya apabila kita dipecahkan dari dalam. Berhentilah… cukuplah… perjalanan kita masih panjang… jangan merasakan diri sendiri sahaja yang ‘perfect’ yang sempurna orang lain mungkin tidak sempurna, tetapi alangkah lebih baik kalau kita dapat cantumkan ‘fikrah’, pemikiran kita, cantumkan ‘qalbu’ kita, hati nurani kita, cantumkan usaha kita.

“Saya ingin menyebut ‘wahdatul fiqh’, ‘wahdatul qalb’ dan ‘wahdatul amal’, tiga elemen ini mesti kita lakukan bukan merancang sesuatu yang akhirnya akan meruntuhkan parti kita dari dalam. Dalam situasi-situasi yang begini…saya ingin mengulanginya sekali lagi…daya tahan harus ada pada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas sempena Ulangtahun UMNO ke-74 yang mengupas topik ‘Menelusuri Perubahan Lanskap Politik Alaf Baru’ yang disiarkan secara Live menerusi facebok UMNO-Online, malam tadi.

Ahmad Zahid seterusnya mengharapkan pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan UMNO pada masa akan datang mengutamakan parti dan bukannya mencari helah untuk kepentingan diri sendiri.

“Untuk kita merayakan ulangtahun UMNO yang ke 100 ertinya Kita tinggal 26 tahun saja lagi. Saya tidak tahu sama ada saya akan diberikan umur atau hayat oleh Allah swt ketika itu…Tetapi jika saya tidak ada pun saya harap 100 tahun ulang tahun UMNO akan datang UMNO terus relevan, UMNO terus dominan, UMNO akan menjadi tulang belakang kepada kerajaan ketika itu dan tentunya sesiapa sahaja yang mengambil alih pucuk kepimpinan memberikan keutamaan kepada UMNO dan bukan mencari helah untuk kepentingan peribadi.

“Ketepikan walaupun saya yakin bahawa kita mempunyai kepentingan politik masing-masing secara peribadi tetapi jika kita mewujudkan kumpulan kecil dengan hasrat ada sokongan daripada kumpulan besar untuk mengubah struktur yang sedia ada atau untuk menendang ‘status quo’ yang ada…lupakanlah.

“Keadaan inilah kita harap ‘biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam akhirnya kita bercantum juga’. Dalam hal inilah saya harapkan sewaktu bulan Ramadhan ini di mana kita merayakan perayaan ulangtahun ke 74 UMNO, kita rapatkan barisan kita, istiqamah kita, buang yang keruh ambil yang jernih. Ahli – ahli UMNO, akar umbi rakyat di luar sana mahu melihat UMNO yang bersatu padu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu bahawa parti itu terbuka kepada semua rundingan yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara malah tidak pernah sama sekali menutup ruang berkenaan.

“Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan Perikatan Nasional dan ianya merupakan dokongan ahli-ahli Parlimen UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti yang lain. Soal yang berada di hadapan kita sekarang ini ialah Perikatan Nasional mahu didaftarkan sebagai sebuah parti gabungan pelbagai parti – parti yang lain.

“UMNO mengambil pendirian dan ini menjadi satu keputusan kepada Majlis Tertinggi yang telah saya pengerusikan sebanyak dua kali bulan ini dan bulan yang lalu sebelum PKP bahawa dokongan kita kepada Perikatan Nasional sekarang adalah merupakan dokongan ahli-ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan Perikatan Nasional.

“Namun kita tidak pernah menutup pintu untuk duduk di meja perundingan bagi menentukan tentang bagaimana kedudukan sebenarnya Perikatan Nasional ini kelak. Saya ingin mengulangi lagi sekali bahawa kita tidak pernah menutup pintu untuk rundingan. Kita sentiasa membuka ruang untuk rundingan tentu ada beberapa perkara yang haruslah kita selesaikan.,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.