Tuduh Kerajaan PN Tidak Sah? Itu Satu Tindakan Mencabar Kuasa Yang di-Pertuan Agong – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas pihak yang mengatakan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional sebagai tidak sah.
Tegasnya, tindakan tersebut jelas kelihatan mencabar kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong.
“Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan perlembagaan. Perlembagaan sangat jelas. Kuasa Yang di-Pertuan Agong besar sehingga tidak boleh dicabar dan dipertikaikan di dalam mana-mana mahkamah.
“Sebab itu saya menganggap apa yang disebut oleh mereka adalah hanya kekecewaan atas kesilapan-kesilapan yang dilakukan.
“Tun Mahathir mungkin tersilap jangka, mungkin ingat Tan Sri Muhyiddin (Muhyiddin Yassin) tidak mendapat sokongan…jadi dia mencuba nasib supaya lebih penting di ketika itu dapat sokongan tetapi akhirnya silap langkah kerajaan dan dirinya tumbang,” tambahnya lagi.
Ismail yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan Menteri Pertahanan berkata demikian di dalam Wawancara Khas sempena Sambutan Ulang Tahun Hari UMNO Ke-74 dengan mengupas tajuk ‘Mendepani Cabaran Baharu Pasca COVID-19’, yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, hari ini.
Ulas Ahli Parlimen Bera itu juga, jika diselusuri, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpunca daripada tindakan mereka sendiri dan bukan daripada pihak lain.
“Apabila Tun Mahathir (Mahathir Mohamad) meletak jawatan sebagai Perdana Menteri seluruh kabinet tumbang. Tun Mahathir yang memulakan dan melahirkan episod-episod seterusnya. Tidak ada Perdana Menteri Interim sebenarnya.
“Selepas itu keluar beramai-ramai (Ahli Parlimen) Bersatu bersama sekumpulan PKR yang menyebabkan kerajaan tumbang. UMNO mana pernah terlibat tumbangnya kerajaan itu,” katanya.
Jelasnya lagi, apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua Ahli Parlimen mengadap untuk menyatakan pendirian, UMNO bersama PAS sebulat suara menyatakan pendirian supaya Parlimen dibubarkan.
“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa membubarkan Parlimen seperti yang dipohon oleh UMNO dan PAS, tetapi Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu berpandangan tidak perlu pembubaran Parlimen kerana ia melibatkan kos dan banyak lagi perkara yang akan berlaku.
“Jadi Yang di-Pertuan Agong menitahkan sesiapa yang boleh membuktikan mereka yang mempunyai majoriti boleh membentuk kerajaan. Jadi akhirnya Tan Sri Mahyuddin mempunyai nombor yang mencukupi dan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan sokongan. Setiap ahli Parlimen UMNO, BN, PAS dan GPS memberi sokongan serta mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya. – UMNO ONLINE