Terus Kekal ‘Istiqamah’,Tingkatkan Kesetiaan Terhadap Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim mengajak seluruh ahli parti serta pendokong UMNO untuk terus bersama ‘istiqamah’ dalam perjuangan parti berkenaan.

Menurut beliau sejarah menunjukkan UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam seperti matlamat penubuhan, tetapi juga mengambil berat dan memahami kehendak masyarakat bukan bumiputera dan penganut agama lain.

“Kita telah bina sebuah negara Malaysia yang makmur dan berjaya dalam rencam kepelbagaian kaum, budaya, agama dan jarak geografi,” katanya menerusi catatan di facebook.

Dalam kupasannya sempena ulang tahun UMNO ke-74, beliau menjelaskan hari ini setiap ahli UMNO perlu bertanya dalam diri sendiri, adakah masing-masing akan terus mencari tunding-menunding antara satu sama lain agar rakan kita tampak lebih buruk dari kita.

“Kita boleh menyalahkan orang itu dan orang ini, parti itu dan parti ini. Hakikatnya kita kalah sebagai sebuah pasukan besar Barisan Nasional. Ya, kita ada kekurangan dan kesilapan. Manusia mana yang sempurna? Parti mana yang tiada cacat cela?

“Malah sebahagian dalam parti lawan lebih buruk dan huduh dari kita sama ada sewaktu menjadi kerajaan dahulu atau kerajaan sekarang. Namun kita bukanlah begitu hina dan buruk seperti yang cuba digambarkan oleh pihak lawan.

“Selama lebih 60 tahun mentadbir negara ini kita telah membawa kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan yang sengat menakjubkan berbanding kebanyakan negara-negara serantau,” ujarnya.- UMNO Online

Ikuti kupasan lanjut beliau:

Selamat Ulang Tahun UMNO ke 74

Satu Perjuangan Yang Belum Selesai di Era Millenium

Tanggal 11 Mei pada setiap tahun, berlaku sejarah memperingati penubuhan ‘United Malay National Organization’ atau UMNO. Dari generasi ke generasi yang mencintai perjuangan buat kaum Melayu di Malaysia pasti akan memperingati sejarah teragung ini. Dari zaman sebelum Kemerdekaan Tanah Melayu hingga ke zaman millenium kini, UMNO tetap utuh mempertahankan nasib orang Melayu dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia.

Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu. Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.

Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.

UMNO hari ini pada era baru tahun 2020 dikenali sebagai parti yang terbesar dan pernah menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar.

Ia adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran. Ia dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Selepas 60 tahun di puncak kuasa, UMNO dan Barisan Nasional berhadapan saat sukar dan laluan berliku untuk kembali memerintah selepas Plihanraya ke 14. Adat apabila kalah kita mula mencari salah pelbagai pihak terutamanya Presiden UMNO ketika itu, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun negara berada di landasan yang betul di bawah Najib Razak, namun isu RM2.6 bilion, 1MDB, rasionalisasi subsidi dan GST yang datang serentak menyebabkan rakyat mengundi perubahan. Kita telah membuat pelbagai penjelasan, namun 45% pengundi telah memilih untuk menolak penjelasan tersebut.

Apabila pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bermula pada Mei 2018, orang melayu di Malaysia mula tersepit dan mendesak kepada perubahan untuk pembelaan kaum Bumiputra di Malaysia.
Kita melihat setelah PH mentadbir Negara, Hutang kerajaan telah meningkat kepada RM741 bilion (51.8% dari KDNK) di bawah PH berbanding RM686 bilion (50.7% dari KDNK) di bawah BN.
Kita juga melihat Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh teruk daripada USD 109.4 bilion pada Mei 2018 kepada USD102.1 bilion pada Januari 2019. Nilai Ringgit merosot berbanding matawang utama sejak 9 Mei 2018. Ketika itu, Ringgit diniaga pada kadar RM3.94 bagi setiap 1 USD, jatuh teruk kepada RM4.067 per USD pada Februari 2019.

Perkara lain yang kita perlu tahu adalah Gaji kakitangan awam enggan dinaikkan, malah saiz kakitangan awam juga ingin dikurangkan. Di samping itu juga, kecurigaan melampau kepada kesetiaan penjawat awam. Fitnah jahat terhadap bekas Presiden UMNO, Najib Razak telah terdedah di mana persoalan mengenai 1MDB tidak terjawab hingga kini:

Mengapa kerajaan PH membisu bila syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, IPIC mengeluarkan kenyataan balas pada bulan Oktober lalu bahawa 1MDB tidak berhutang kepada IPIC, jelas bertentangan dengan tuduhan kerajaan PH? Jika ia prejudis, mengapa PH boleh keluarkan kenyataan mengenai perjanjian itu tetapi tak mahu dedahkan dokumen perjanjian itu?

Kita juga jangan mudah terlupa mengenai alasan hutang RM1 trillion untuk kerajaan PH tidak menunaikan manifesto perlu dihentikan segera, sedangkan telah ‘memerah’ RM80 bilion daripada Petronas untuk tahun 2018 sahaja.

Akibat fitnah melampau yang dilemparkan oleh kerajaan PH, kita melihat kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020 ini setelah 21 bulan mentadbir Negara Malaysia. Dalam banyak episod sejarah kejatuhan empayar dan kerajaan terdahulu, kejatuhan sesebuah kerajaan adalah disebabkan kegagalan kekuasaan kerajaan itu sendiri mengurus tadbir isu dan hal ehwal dalamannya. Sejarah juga membuktikan bahawa faktor-faktor kejatuhan antara satu kerajaan dengan yang lainnya adalah hampir sama daripada aspek permasalahannya.

Yang berbeza hanyalah watak, masa dan tempatnya. Faktor perebutan kuasa, persaingan ideologi dan perasaan sombong serta angkuh atas sebab kuasa yang ada adalah antara nilai-nilai buruk yang mendominasi selama 21 bulan pentadbiran kerajaaan PH.

Segala yang berlaku itu perlu diambil iktibar secara jujur dan ikhlas oleh semua agar pada masa hadapan, rakyat tidak lagi tersilap dalam proses pilihan raya. Pastinya perkembangan politik dalam negara ketika ini memberi pelbagai implikasi negatif kepada rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

Hari ini setiap ahli UMNO perlu bertanya dalam diri sendiri, adakah kita akan terus mencari tunding-menunding sesama kita agar rakan kita tampak lebih buruk dari kita? Kita boleh menyalahkan orang itu dan orang ini, parti itu dan parti ini. Hakikatnya kita kalah sebagai sebuah pasukan besar Barisan Nasional.

Ya, kita ada kekurangan dan kesilapan. Manusia mana yang sempurna? Parti mana yang tiada cacat cela? Malah sebahagian dalam parti lawan lebih buruk dan huduh dari kita sama ada sewaktu menjadi kerajaan dahulu atau kerajaan sekarang. Namun kita bukanlah begitu hina dan buruk seperti yang cuba digambarkan oleh pihak lawan. Selama lebih 60 tahun mentadbir negara ini kita telah membawa kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan yang sengat menakjubkan berbanding kebanyakan negara-negara serantau.

Sejarah menunjukkan UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam seperti matlamat penubuhan, tetapi juga mengambil berat dan memahami kehendak masyarakat bukan bumiputera dan penganut agama lain. Kita telah bina sebuah negara Malaysia yang makmur dan berjaya dalam rencam kepelbagaian kaum, budaya, agama dan jarak geografi.

Sebagai parti politik, mungkin Allah menguji kita dengan satu musibah besar sebelum ini sebagai peringatan dan kifarah supaya kita dapat bangkit sebagai sebuah parti yang lebih baik pada masa akan datang.

Justeru marilah semua ahli, dan penyokong parti termasuk bukan Melayu, untuk turun menunjukkan kesetiaan dan sokongan kepada perjuangan parti ini.

UMNO dan Melayu berpisahnya Tiada. Parti Keramat Melayu ini akan terus berjuang demi Melayu dan semua kaum yang berbilang bangsa di Malaysia. Selamat Ulang Tahun UMNO ke 74 buat semua ahli UMNO di Seluruh Negara.

Norshida Ibrahim
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.