Bantuan Prihatin Nasional – Laksanakanlah Sejujurnya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, demi memastikan pakej ransangan ekonomi lebih berkesan dan agar ianya mencapai sasaran untuk membantu rakyat yang mengalami kesusahan, maka Bantuan Prihatin Nasional (BPN) perlu dipercepat dan diperluaskan.

Jelas beliau, dari segi keberkesanan BPN untuk merangsang ekonomi pula, adalah lebih baik orang yang tidak layak mendapat BPN dapat BPN berbanding dengan situasi jika ada orang yang perlu mendapat bantuan tertinggal tidak dapat bantuan atas alasan birokrasi.

“Kita terdengar banyak keluhan daripada ramai rakyat terutama Jabatan Netizen Negara bahawa mereka masih belum mendapat BPN seperti yang dijanjikan. Keluhan-keluhan tersebut telah banyak dimuat naik di media sosial sejak beberapa minggu yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan betul, ia akan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi itu sendiri.

“Saya tidak tahu apa masalahnya; jika permohonan mereka yang memohon bantuan telah diluluskan tapi pembayaran masih belum dibuat atas alasan birokrasi, maka kerajaan perlu mempercepatkan pembayaran bantuan tersebut. Ini kerana, bagi ramai pemohon, wang BPN ini sangat dinanti-nantikan terutama bagi mereka yang dipotong gaji, dan terutamanya mereka yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP,” ujar beliau menerusi status yang dimuatnaik di laman sosial peribadi.

Tambah Zahid, antara masalah yang diutarakan oleh orang ramai adalah sesiapa yang ada mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), secara automatik golongan ini tidak layak untuk mendapat BPN, sebaliknya mereka perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP). Bantuan yang diberikan melalui GKP ini berjumlah RM3000.

“Namun, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu memohon GKP. Antaranya adalah jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat. (Maklumat lanjut berkaitan GKP boleh dilihat di link ini http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/FAQ_GKP_2.pdf).

“Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga. Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa. Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali.

“Dari segi pertimbangan ekonomi, mereka ini perlu dimasukkan dalam kategori yang berkelayakan bagi mendapat BPN. Tetapi malangnya mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan untuk melayakkan mereka mendapat bantuan atas alasan kerana mereka pernah mendaftar perniagaan walaupun perniagaan itu sudah tidak aktif,” jelas beliau.

Mengulas lebih lanjut Ahmad Zahid berkata, alasan yang digunakan sebelum ini bahawa ‘sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dgn SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai BSH, BPN dan sebagainya’ sebenarnya tidak tepat kerana di negara kita juga terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil (kategori PKS), ramai juga yang mengambil gaji bulanan sedikit sahaja dari syarikat mereka, dan keuntungan syarikat yang diaudit dilaporkan ke LHDN menunjukkan keuntungan yang sangat kecil, di samping itu ada syarikat PKS yang mengalami kerugian.

“Saya berpandangan, sekiranya jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan (dari dividen syarikat dan gaji bulanan yang diambil), maka kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka menerusi BPN. Sekiranya ini dilaksanakan, pada hemat saya, secara tak lansung kerajaan dapat galakkan rakyat untuk melaporkan pendapatan secara telus dan jujur pada masa akan datang.

“Justeru, saranan saya adalah kerajaan perlu memperluaskan bantuan BPN kepada golongan ini agar tujuan pakej rangsangan ekonomi yang dirangka kerajaan mencapai objektifnya,” tegas beliau. UMNO-ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.