UMNO 74 Tahun: Pertahankan Prinsip Parti Dalam Mendepani Cabaran Politik Alaf Baru – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO perlu terus mempertahankan prinsip parti dalam menghadapi pelbagai cabaran alaf baru ketika ini.

Katanya, soal prinsip berkaitan hal agama, bangsa dan Perlembagaan negara mesti terus dipertahankan tetapi dalam hal-hal yang melibatkan pelaksanaan, tatacara atau perkara-perkara lain boleh disesuaikan mengikut keadaan dengan asimilasi daripada kehendak rakyat.

“Masyarakat hari ini mahukan respon dalam kedaan yang segera, bukan dalam masa sehari, dua hari atau secara birokrasi tetapi kita mesti memberi maklumbalas dalam tempoh yang pantas dan tepat. Ini kerana dunia hari ini berubah dan warga netizen iaitu rakyat akan memberi respon atas setiap apa yang berlaku,” katanya.

Ujarnya, cabaran besar terhadap UMNO ketika ini yang pertama adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam kehidupan manusia apabila berdepan dengan COVID-19.

“Ia umpama perang kepada perkara yang tak nampak, tak boleh bergerak, tak boleh berjalan, sekolah tutup, tak boleh bekerja… tutup semuanya, jadi selepas ini kita nak pergi kepada pasca-COVID, maka pemikiran kita, ada sentimen yang kita bawa bersama dan selepas ini kita perlu mula berfikir bagaimana nak melihat UMNO dalam post-COVID.

“Ini kerana parti kita menjadi pembangkang selama 22 bulan dan kemudian menjadi sebahagian kerajaan dalam Perikatan Nasional (PN) dan nak bergerak kehadapan. Bagaimana?” soalnya.

Dalam menjawab persoalan berkaitan, beliau memberikan dua pandangan.

“Pertama sekali perlu ada kombinasi pemikiran kita dengan dunia digital. Kita boleh berfikir tetapi kita kena bersama sealiran dengan dunia digital. Kita bersediakah dengan perubahan-perubahan ini… media sosial, facebook, instagram… terlalu pantas… tugasan hidup dan apa jugalah… apa isu yang ‘the real time’… apa yang orang mahukan, berkaitan ekonomi, kesusahan rakyat… atau berkaitan cari makan, kerja… isu apa yang perlu dibawa.
“Dalam pemikiran politik kita perlu terbuka terhadap dunia luar dan apa yang kita mahu bawa. Kita mesti mempunyai pemikiran untuk masa hadapan.

“Yang kedua, penyatuan kukuh dalam parti mesti ada. Kita dah kalah 2018 dalam pilihan raya tapi sekarang kita kembali menjadi kerajaan… kembali bersama PAS dalam Muafakat Nasional yang sebelum ini kita bertelagah… antara UMNO-PAS sekarang kita boleh bersama.”

Maklum beliau, Muafakat Nasional itu sebenarnya yang mengangkat UMNO kembali untuk menjadi jadi kerajaan.

“Kita perlu ada pemikiran bagaimana untuk menghadapi masa hadapan, penyatuan mesti konkrit, kukuh dan saling berlapang dada di semua peringkat. Ini kerana kita mempunyai hala tuju yang jelas kemana kita nak pergi.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas menjelang Hari Ulang Tahun UMNO ke-74 tahun yang bertajuk ‘Mendepani Cabaran Politik Alaf Baru’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Terdahulu Mahdzir mengimbas bagaimana pada 9 Mei 2018, UMNO yang telah menjadi kerajaan selama 62 tahun tidak cukup kerusi bersama kompenan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan.

“PH jadi kerajaan dalam 22 bulan, kita jadi pembangkang dan dalam waktu itu juga rasa tidak puas hati sesama anggota PH wujud sehinggalah membawa kepada penubuhan kerajaan dalam pertengahan… semua rakyat tahu bahawa PPBM keluar dari PH, Datuk Seri Azmin Ali dan pasukannya keluar dari PKR… ini sebabkan PH tumbang, dan barulah Muafakat Nasional iaitu UMNO dan PAS bersama GPS di Sarawak telah menyertai satu gagasan baru iaitu PN.

“Dalam masa dua bulan masuk bulan ketiga ini, Ahli Parlimen UMNO sebahagiannya telah menjadi anggota pentadbiran dalam kerajaan PN. Jadi sudah tentulah berubah… keadaan 22 bulan kerajaan PH dengan keadaan lebih dua bulan kerajaan PN sekarang adalah sesuatu yang berbeza sekali.

“Saya melihat apa yang berlaku ini sebagai ‘the window of the opportunity’, ini peluang yang ada dan yang telah diputuskan oleh parti. Inilah kerajaan hari ini… Perdana Menteri pun ada sebut bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang bukan dipilih oleh rakyat tetapi kerajaan pertengahan yang muncul atas rasa tak puas hati dalam PH, bertelingkah sesama sendiri hingga akhirnya kerajaan itu jatuh dan apabila kerajaan itu jatuh maka ini adalah peluang untuk kerajaan baru. Dari segi demokrasi dan berasaskan lunas-lunas undang-undang ia adalah perkara yang tak salah.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.