Usul Percaya Atau Undi Tidak Percaya : Sejauh Mana Ahli Parlimen Semporna Mempunyai Etika Politik – Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Dalam negara yang mengamalkan demokrasi matang, individu yang membawa usul “mengejut dan memecahbelahkan” seperti Undi Percaya atau Undi Tidak Percaya dalam parlimen akan meletak jawatan jika percubaannya gagal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata individu tersebut secara budiman (gentleman) akan mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan itu.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Tuaran, kegagalan termasuk apabila usul itu ditolak oleh Speaker kerana sudah tentu individu berkenaan tahu speaker akan menolak usul yang tidak mengikuti peraturan mesyuarat parlimen atau Perlembagaan Malaysia.

“Jika tidak ada pertanggungjawaban, parlimen terpaksa berdepan dengan usul undi tidak percaya setiap hari yang akan mengakibatkan ketidakstabilan politik negara,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Rahman secara adilnya, jika usul itu berjaya, Perdana Menteri mesti letak jawatan dan kalau tidak berjaya, pembawa usul mesti letak jawatan.

“Persoalannya apakah ahli parlimen Semporna yang juga Ketua Menteri Sabah mempunyai etika politik untuk meletakkan jawatannya? Kita tunggu dan lihat,” ujarnya.

Memetik laporan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dilaporkan menolak usul undi percaya dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung keyakinan Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli.

Menerusi kandungan surat dihantar kepada Mohd Shafie, Mohamad Arif menyatakan usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.