Utamakan Keselamatan Ketika Perjalanan Rentas Negeri

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memasuki hari keempat pelaksanaannya hari ini tertumpu kepada proses rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas berikutan penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lepas, pulang ke kediaman masing-masing.

Malah, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara bermula hari ini sehingga Ahad.

Orang ramai yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal malah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya termasuk gerai makan dan surau ditutup untuk kegunaan orang awam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Rabu berkata hanya penggunaan tandas di kawasan R&R sahaja dibenarkan dalam usaha kerajaan mengekang dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula esok bagi membolehkan orang ramai yang terkandas pulang ke kediaman masing-masing.

Hari ini juga merupakan cuti umum sempena sambutan Hari Wesak.

Memahami sambutan kali ini diraikan dalam keadaan yang mencabar ekoran penularan wabak COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya semalam berkata perayaan itu pastinya tetap disambut oleh penganut agama Buddha bersama ahli keluarga.

Negara mencatatkan 6,428 kes dan 107 kematian akibat COVID-19 dan yang membanggakan adalah sebanyak 135 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, tiga kali ganda daripada kes baharu disahkan dijangkiti virus itu iaitu 45 kes setakat 12 tengah hari semalam.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu berkata pihaknya akan terus berusaha mempergiatkan aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19 khasnya dalam kalangan pekerja asing yang berada di Zon Merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Keadaan di lebuh raya dan situasi semasa orang ramai dalam menghadapi PKPB pastinya akan terus menghiasi platform media sosial hari ini sebagai antara medium terpantas untuk mendapatkan maklumat. Semak sebelum sebar. Jangan jadi mangsa berita palsu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.