Hello Hello Presiden: Bantu Kerajaan Letakkan Penularan Covid-19 Dalam Keadaan Sifar

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bagaimana kita mahu membantu kerajaan untuk meletakkan penularan wabak COVID-19 dalam keadaan sifar.

Katanya, pada masa yang sama kerajaan sekarang sedang melakukan yang terbaik agar rakyat terhindar daripada penularan wabak tersebut.

“Apa yang penting adalah kesedaran diri untuk sama-sama memainkan peranan bagi menangani wabak COVID-19 ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi ‘Segmen Hello Hello Bersama Presiden UMNO’ yang kali ini menampilkan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA.
Dalam kesempatan tersebut, Ahmad Zahid menimbulkan persoalan kepada Wee berkenaan perjalan merentas negeri pada sambutan hari raya Aidilfiri kelak.

“Dalam tempoh dua minggu lebih sebelum hari raya ini maka kita akan lihat kepada kes-kes penularan… dan adakah selepas 12 Mei ini masih perlu dilaksanakan PKP atau ada disesuaikan dengan keadaan tertentu. Inilah yang kita tunggu-tunggu… apakah yang akan terjadi selepas 12 Mei,” jelas Wee berhubung persoalan tersebut.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri sebelum ini sudah dinyatakan dengan jelas bahawa tidak boleh balik raya yang bermakna tidak ada rentas negeri.

“Ini bukan bermakna kita tidak mahu mereka berjumpa ahli keluarga tetapi disebabkan jangkitan COVID-19. Kita ambil pandangan dari Kementerian Kesihatan juga, bukan sewenang-wenangnya tak nak bagi balik kampung tapi berkisarkan kepada disiplin rakyat Malaysia juga… kita perlu ubah, ada anjakan paradigma untuk norma baru yang perlu kita disesuaikan diri,” katanya lagi.

Terdahulu Ahmad Zahid turut menyentuh berkaitan Koperal Safwan Mohamad Ismail yang telah meninggal dunia akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika menjalankan tugas di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas, baru-baru ini.

“Kita berasa amat sedih dan simpati… kita ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Dalam hal ini kita harap Kementerian Pengangkutan fikirkan satu tindakan untuk memperkuatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan atau menyebabkan kematian.

“Walaupun ada undang-undang lalu lintas yang telah sedia ada tetapi oleh kerana kekerapan yang banyak berlaku dan oleh kerana ramai orang awam, anggota penguatkuasa menjadi mangsa maka mesti ada satu perkara baru,” tegasnya.

Dalam maklumbalasnya, Wee menjelaskan bahawa sememangnya Kementetian Pengangkutan komited untuk mengambil langkah baru termasuk pindaan undang-undang.

“Memang tepat sekali kerana insiden ini tidak sepatutnya berlaku… apabila mabuk maka tak sepatutnya memandu kerana akan membahayakan orang lain. Kita minta kaji semula undang-undang Akta Pengangkutan Jalan khususnya Seksyen 41-45 iaitu kita perlu melihat bagaimana hukuman sama ada setimpal atau tidak.

“Sekarang hukuman untuk kesalahan mabuk hanya dikenakan denda RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara 12 bulan. Ini bermaksud bukanlah hukuman yang amat berat. Apabila sebabkan kematian kerana memandu mabuk maka penjara 3-10 tahun atau denda RM8,000 hingga RM20,000… dan ini juga tak dapat bendung hal tersebut maka sudah sampai masanya Kementerian Pengangkutan bincang dengan Peguam Negara.

“Kita juga mengambil contoh dari negara-negara lain untuk hukuman yang lebih berat. Kita minta sedikit masa kerana ada juga lain-lain perkara yang perlu dipinda dan kita komited untuk ambil tindakan kerana tidak mahu perkara ini berterusan,” katanya lagi.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin ini berkongsi rasa pentingnya perpaduan dan persefahaman antara kaum dikekalkan dalam suasana masyarakat Malaysia yang majmuk sebagaimana Wee sendiri yang amat arif tentang budaya Melayu lantaran dibesarkan dalam suasana kampung yang dihuni masyarakat terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.