Henti Berpolitik Ketika Rakyat Sedang Bertarung Hadapi Krisis COVID-19

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar mengajak semua pihak untuk menolak politik berlebihan dan amalkan kepatuhan yang tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat .

Dalam hal tersebut, beliau merasa terkejut dengan beberapa kepimpinan dari Pakatan Harapan (PH) yang terus menerus bermain propaganda politik di kala rakyat sedang berjuang untuk menangani COVID-19.

“Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan mencipta retorik baharu dengan menyatakan Melayu lebih baik di bawah PH berbanding Perikatan Nasional (PN).

“Ya, ‘nasib Melayu lebih baik bersama PH’ dengan pelbagai isu pencabulan orang Melayu dan Islam semasa pentadbiran PH. Antaranya cubaan ratifikasi ICERD, statut rome dan peruntukan pendidikan yang tidak setara dengan jumlah keberadaan murid komposisi bilik darjah yang majoriti Melayu.

“Pencabulan ini juga tidak termasuk dengan peruntukan khas yang istimewa kepada kolej pendidikan Cina dan penerbitan komik yang mempromosikan komunis yang mendapat restu daripada bekas Timbalan Pendidikan PH itu sendiri,” bidas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, PH juga dengan angkuh terlalu sibuk untuk menjual tanah orang Melayu di Kampung Baru, dan beberapa bazar Ramadan yang menjadi mata pencarian masyarakat sederhana bandar dari kalangan orang Melayu dipindahkan ke lokasi yang langsung tidak strategik selain cukai-cukai tanah dinaikkan untuk ‘mencekik’ orang Melayu yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

“PH juga membatalkan projek-projek mesra marhain dengan mendakwa projek tersebut dijalankan oleh ‘orang UMNO’ sedangkan ia dijalankan secara telus dan dianugerahkan kepada usahawan-usahawan yang layak untuk mengendalikannya.

“Akibatnya, ramai orang Melayu tidak dapat menikmati infrastruktur dan pembaharuan semasa pentadbiran PH. Pertubuhan belia, persatuan dan kelab-kelab sukan yang suatu ketika dahulu aktif mempromosikan gaya hidup sihat dan berkualiti juga tidak diberi dana, atas alasan ‘negara tiada wang’ dan pelbagai lagi retorik yang dimainkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu.”

Katanya,ia tidak termasuk beberapa pemimpin PH yang memperlekehkan peneroka sawit yang rata-ratanya orang Melayu dalam ceramah kempen mereka.

“Mereka menyamakan maruah orang Melayu sebagai satu sekola biasa dalam masa yang sama mengagungkan pentadbiran chauvinist Dap yang rasis.

“Mukhriz seharusnya memperbetulkan dahulu parti Bersatu yang dilihat berpecah belah, daripada beretorik setiap masa. Beliau perlu berhenti dari mengherdik sokongan orang Melayu yang rata-rata kini menjungjung Muafakat Nasional demi survival Melayu Islam. Mukhriz juga perlu sedar bahawa majoriti dalam Bersatu itu sendiri telah meninggalkan beliau kerana terlalu obses dengan dasar pemerintahan chauvinist yang anti Melayu.

“Kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Presiden PH yang memaksa untuk sidang penuh Dewan Rakyat juga satu cubaan politik untuk menarik perhatian rakyat semata-semata sedangkan krisis COVID-19 perlu ditangani secara pantas dan efektif yang meneruskan aspirasi prihatin rakyat.”

Ujarnya, perdebatan panjang dalam jangka masa yang lama di Dewan Rakyat sudah tentu nya akan menimbulkan pelbagai masalah birokrasi, serta menyusahkan rakyat untuk menerima faedah-faedah tertentu dari kerajaan.

“Kepimpinan PH sepatutnya membantu mempamerkan teladan yang baik seperti terus menggalakkan rakyat mengamalkan langkah keselematan dan kesihatan yang optima, bukan mencipta retorik semata-mata untuk kekal popular.

“Rakyat sudah letih dengan permainan politikus yang gemar muncul hero dengan isu yang tidak bersandarkan rakyat dan mahukan perubahan yang total tentang pentadbiran disamping dambaan kepada pemerintahan yang cekap.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan PN yang terus konsisten dalam gerak kerja mereka yang seimbang antara keselamatan dan pembukaan semula ekonomi serta nilai-nilai murni yang diterapkan dalam setiap kepimpinan PN,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.