UMNO 74 Tahun: Pendekatan, Isu Perlu Disesuaikan Dengan Suasana Baharu

KUALA LUMPUR, 3 Mei – UMNO bakal menyambut ulang tahun penubuhannya ke-74 pada 11 Mei depan selepas ditubuhkan pada tahun 1946.

Sehubungan itu, aktivis masyarakat yang juga Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata pendekatan dan isu-isu yang bakal diketengahkan oleh UMNO perlu disesuaikan dengan suasana baharu.

Katanya, untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti akan ada tambahan lapan juta pengundi yang pertama kali terlibat berbanding dengan PRU-14.

“Misalnya, UMNO perlu tampilkan bakat-bakat baru untuk tarik pengundi, kerana pada PRU-15 ada tambahan lapan juta pengundi daripada orang muda yang tidak membuat keputusan lagi parti mana yang akan diundi, mereka adalah pengundi baru dan bagaimana nak berdepan dengan mereka ini kita perlu cari kesesuaian, perlu libatkan diri untuk terus bantu rakyat.

“Cabaran yang dihadapi bagaimana kita akan bantu… UMNO perlu masuk kawasan bandar untuk kelangsungan politik pada masa hadapan dan golongan M40 hari ini ramai berada di kawasan bandar.

“UMNO perlu terus berkhidmat kepada rakyat walaupun kekurangan sumber dan banyak kekangan tetapi rakyat harus terus dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program terbitan Penerangan UMNO Malaysia bersama seorang lagi panel iaitu pakar ortopedik dan pediatrik, Dr Mohammad Nawar Ariffin melalui segmen ‘Politik Alaf Baru’ sempena Hari UMNO-74 Tahun yang membincangkan topik ‘Mengenali Kebiasaan Baharu Politik Malaysia’, menerusi laman rasmi Facebook, UMNO-Online, hari ini.

Ujar Isham, UMNO perlu menyesuaikan dengan kebiasaan-kebiasan yang baharu dengan keadaan politik sekarang ini.

“Norma baru politik, realitik politik, yang pertama kuasa dan kedua adalah orang… siapa yang kita bagi kuasa ke atas orang ramai itu dan apa guna kuasa itu… untuk kawal sumber dan untuk ubah cara hidup.

“Tanpa kuasa payah untuk tentukan. Dulu sebagai kerajaan UMNO dapat kawal sumber dan tentukan dasar sedangkan macam mana sekarang kita ingin bergerak dan bantu rakyat tanpa sumber. Sebagai pembangkang bagaimana berjuang tanpa ada sumber, maka berbalik kepada semangat sebagaimana untuk menentang Malayan Union dulu.”

Katanya, dalam keadaan sekarang UMNO dan Muafakat Nasional berada pada kedudukan yang lebih dari yang sebelum ini.
“Ini kerana kita sebelum ini langsung tidak boleh menentukan dasar tapi sekarang sedikit sebanyak boleh.

“Kekuatan UMNO adalah bertunjangkan di akar umbi. PRU-14 walaupun kalah tapi kita lihat 11-12 juta pengundi iaitu 1/3 daripadanya adalah undi UMNO dan ia adalah jumlah besar.

“Asas utamanya politik Malaysia adalah pengundi Melayu dan jika tidak dapat sokongan undi Melayu maka akan gagal berkuasa. UMNO mendapat lebih 60 peratus daripada sokongan Melayu dan ini adalah kekuatan dan perlu dipertingkatkan.”

Bercakap soal hubungan dalam Perikatan Nasional, sebenarnya kata Isham, UMNO ada sebab menerimanya.

“Pergolakan politik adalah dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri, perpecahan, perebutan kuasa dan tiba-tiba perlukan satu kerajaan yang stabil tapi ‘timing’ ketika itu tidak betul walaupun ikutkan yang kita mahukan adalah pilihan raya tetapi kita sedang berdepan COVID-19. Jadi pilihan terbaik ketika itu ialah buat kerajaan dan ketepikan orang-orang yang tak boleh buat kerja sebab kalau mereka ada lagi teruk kerajaan sepeti Dap.

“Sebagai contoh sekarang kita dalam kerajaan… UMNO bantu untuk kestabilan kerajaan, tetapi dalam PN perjanjian kita akan bersama-sama sehingga PRU-15 tapi PRU-15 bila akan berlaku kita tak tahulah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Farhana Malek

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.