UMNO 74 Tahun: Agenda Melayu Rangkul Bangsa Lain Untuk Hidup Aman Bersama – Dr Nawar

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Agenda Melayu bukanlah menolak kaum bukan Melayu tetapi adalah untuk merangkul bersama-sama dengan orang bukan Melayu untuk hidup aman di muka bumi ini, tegas pakar ortopedik dan pediatrik, Dr Mohammad Nawar Ariffin.

Katanya, naratif Agenda Melayu sebanar tidak mahu dengar oleh kerajaan lalu iaitu Pakatan Harapan (PH) yang didominasi Dap dengan menyatakan agenda Melayu adalah agenda yang menolak bukan Melayu.

“Sekarang ini senjata dah makan tuan kerana apabila Dap dah jadi kerajaan mereka tak boleh bawa isu-isu patriotik atau isu-isu kebangsaan kerana isu-isu kebangsaan menjadi semangat Melayu dan menjadi penolakan dalam kalangan penyokong mereka sendiri.

“Di sinilah norma baru perlu mengambil pola realiti rakyat Malaysia sendiri. Naratif orang bukan Melayu sengsara jika Melayu berkuasa adalah naratif mengarut daripada Dap, momokan yang telah dipropagandakan dan hari ini mereka terduduk kerana rakyat tidak boleh lagi menerima hal ini. Malaysia Baru perlu diberikan definisnya mengikut realiti masyarakat majmuk yang ada di dalam negara ini,” katanya.

Ujarnya, Dap mesti dilihat sebagai musuh negara kerana mereka tidak membawa semangat patriotik dan tidak ada semangat perpaduan serta kebangsaan untuk diterapkan di kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau nak bercakap tentang isu rasuah atau pentadbiran maka mereka telah hilang kelayakan atas apa yang mereka lakukan sewaktu mereka berkerajaan dahulu,” katanya yang menjadi panel dalam Segmen Politik Alaf Baru sempena Hari UMNO-74 Tahun bersama dengan seorang lagi panel iaitu aktivis rakyat, Isham Jalil dalam topik ‘Mengenali Kebiasaan Baharu Politik Malaysia’, hari ini.

Terangnya, bagaimana kerajaan tanpa Dap hari ini berlaku adalah disebabkan oleh terang-terangnya PH yang diterajui oleh Dap menampakkan mereka gagal.

“Mereka bukan sahaja gagal mentadbir negara, tapi struktur mereka pun lemah, terlalu banyak contoh-contoh yang boleh dipetik sehinggakan rakyat hilang harapan termasuklah dalam penyokong-penyokong mereka sendiri.

“Pengundi PH juga mula timbul rasa penyesalan. Kenapa hal ini berlaku? Ini kerana pertama adalah kerana kegagalan kepimpinan, mereka gagal menerajui kepimpinan negara… kedua, yang lebih besar lagi adalah kegagalan Daplah sebab mereka adalah parti yang lebih dominan iaitu kegagalan membawa nilai-nilai sebagai sebuah negara selaku kerajaan.

“Mereka bukan lagi pembangkang yang boleh menyalak bukit seperti dahulu tapi sudah jadi realiti baru sebagai kerajaan malah rakyat pada ketika itu sudah boleh menerima maka ambiklah dan tadbirlah tetapi banyak tema-tema besar dan janji-janji mereka tidak ditunaikan… seperti untuk hapuskan rasuah, hapuskan kronisme dan sebagainya.”

Misalnya kata Dr Nawar, PH khususnya Dap dilihat gagal membawa nilai-nilai negara Malaysia yang dilihat hancur malah mengkacau-bilaukan semangat patriotik dalam negara.

“Contohnya, kita boleh saja sambut Tahun Baru Cina tapi Menteri Kewangan mereka itu telah hias pejabat mereka yang seolah-olah tidak ada langsung identiti sebuah negara Malaysia… jadi di situlah lambang kegagalan apabila gagal meletakkan pimpinan parti dalam kepimpinan Malaysia.

“Ketika itu Malaysia sebenarnya menunggu untuk melihat apakah sebenarnya pembaharuan yang mereka akan lakukan tetapi mereka menjadi seperti percikan api yang menyebabkan rakyat kecewa, marah apatah lagi mereka gagal untuk menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam yang menjadi majoriti dalam negara kita.

“Negara Malaysia ini adalah majmuk yang sagat istimewa dan rakyatnya mahukan hidup yang harmoni antara satu sama lain. Ini sebenarnya yang perlu kita tawarkan sampai bila-bila dan saya rasa Perikatan Nasional (PN) hari ini melihat perkara ini.”

Jelas beliau, berlaku perubahan kerajaan dalam sekelip mata iaitu dari PH kepada PN sedangkan senarnya banyak peristiwa ke arah itu.

“Sebenarnya bukan ini yang kita mahukan, cumanya penyakit yang dibawa Dap ini terlalu berat sehinggakan ada wakil-wakil rakyat yang sanggup membentuk satu pakatan baru sebagaimana PN tanpa wujudnya Dap.

“Ini adalah satu fasa yang mana kita menghadapi perkara yang pertama kali. Landskap politik sekarang terlalu banyak perkara yang baru. Pertama kali Barisan Nasional (BN) kalah selepas merdeka, pertama kali belajar jadi pembangkang, dan pertama kali juga selepas 22 bulan tanpa ada pilihan raya kerajaan bertukar, pertama kali tanpa ada Timbalan Perdana Menteri, selepas kerajaan baru ada pula COVID-19 dan mahu atau tidak terpaksa berdepan dengan wabak ini, dan ini juga pertama kali.

“Melibatkan bukan hanya pentadbiran, banyak sekali yang meletakkan suasana dalam pertama kali. Apakah yang akan kita lakukan, apakah ada jalan-jalan atau cara yang lebih baik?”

Dalam hal ini, katanya, UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan norma-norma baru dan harus diteliti, contoh apakah kesan COVID-19 ini kepada pemerintahan negara, bagaimana dengan penglibatan parti-parti sebagaimana UMNO yang banyak memberikan perkhidmatan?

“Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dahulu. Kita sedar kekuatan UMNO adalah sokongan ahli-ahli akar umbi, roh perjuangan kita adalah luar biasa tetapi cara, kaedah, metodologi harus kita fikirkan semula.

“Apa yang saya rasa kita boleh belajar dari peristiwa-peristiwa ini, pertama kejatuhan PH, gandingan yang akan dibentuk, tak kiralah sekarang ini PN, mungkin sewaktu mendekati PRU-15 ada gandingan lain, ataupun mungkin pasca PRU-15… dalam pembentukan gabungan ini adalah dengan belajar dari kisah PH iaitu tentang kegagalan mentadbir… rupa-rupanya kita sedar bahawasanya kepimpinan urus tadbir negara berbeza dengan menjadi mentadbir parti walaupun parti itu menguruskan orang ramai untuk mendapat kuasa tapi apabila sudah mendapat kuasa orang tak boleh bercakap politik lagi dan harus menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

“Inilah yang PH gagal, tidak berkhidmat, tidak ada sensitiviti malah hilang terus semangat kebangsaan dan negara Malaysia. Kedua, bagaimana mahu menjanjikan kestabilan dan merangkul semua pihak yang berpolitik. Selepas berkuasa dapat meletakkan semua pihak bersama-sama dan sekarang PN boleh dianggap beruntung ada COVID-19 untuk jaga diri bersama-sama dan jaga negara,” katanya lagi.

Dilaporkan, UMNO akan menyambut ulang tahun ke-74 penubuhannya pada 11 Mei selepas penubuhannya pada tahun 1946. – UMNO-online

Oleh: Farhana Malek

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.