Kini Orang Ramai Ada Tanggungjawab Besar Perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Rakyat Malaysia secara umumnya menerima terlalu banyak maklumat minggu ini berkaitan beberapa langkah dasar, selain kerajaan perlu menjernihkan kekeliruan yang timbul mengenai moratorium pembayaran pinjaman sewa beli di samping meredakan rasa khuatir warga mengenai pembukaan semula sebahagian ekonomi.

Isu moratorium itu akhirnya dijelaskan Bank Negara Malaysia, malah beberapa bank menawarkan untuk menghapuskan sebarang faedah/keuntungan terakru, yang sangat melegakan para peminjam.

Bagaimanapun, perdebatan mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berlanjutan.

Kebimbangan yang sememangnya berasas itu pasti menambahkan lagi kerisauan mengenai keselamatan orang tersayang, namun inti bicaranya tidak sentiasa kukuh.

Keputusan kerajaan, bermula dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehinggalah pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM260 bilion yang merangkumi peruntukan besar ke arah memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta menyokong golongan yang memerlukan, secara umumnya disambut baik.

Kerajaan menggerakkan semua jenteranya sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, yang menyaksikan pematuhan meningkat hingga 95 peratus, yang menjadi faktor utama untuk meratakan lengkungan jangkitan COVID-19.

Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi dijalankan secara ‘terkawal dan berhati-hati’ mulai esok, hanya dibuat selepas meneliti data yang ada dan memastikan enam syarat yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dipenuhi, antaranya memiliki kapasiti sistem kesihatan yang mencukupi.

Dalam temu bual yang disiarkan di saluran televisyen TV3 semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara kini menggunakan hanya 30 peratus daripada kapasiti sistem kesihatan.

Beliau juga berkata kerajaan tidak memaksa mana-mana syarikat untuk memulakan semula operasi sekiranya mereka belum bersedia untuk menjalankan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan.

Perlu diingatkan di sini, pembukaan semula sebahagian ekonomi itu bermaksud PKP masih berkuat kuasa sehingga 12 Mei dan mungkin boleh dilanjutkan lagi.

Aktiviti melibatkan perhimpunan besar kekal dilarang, seperti menonton wayang di pawagam, bazar, taman tema dan pameran malah semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi juga masih ditutup.

Kerajaan menasihatkan agar sektor awam dan sektor ekonomi lain untuk terus mengamalkan bekerja dari rumah sebanyak yang mungkin.

Krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19 dan kesannya yang berlaku ke atas ekonomi tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penawar bagi pandemik ini masih lagi tidak ditemui demikian juga bagi menetapkan modus operandi jelas mengenai bagaimana untuk mana-mana kerajaan sewajarnya membuka semula ekonomi mereka.

Panduan paling hampir yang kita ada adalah beberapa syarat disediakan WHO, yang dipatuhi oleh kerajaan.

Penyambungan semula aktiviti perniagaan perlu dilaksanakan pada mana-mana peringkat memandangkan kerajaan berusaha untuk mencapai keseimbangan bukan sahaja di antara kesihatan dengan permintaan ekonomi, malah di antara kehidupan dengan mata pencarian.

Tengku Zafrul berkata kerajaan mempunyai pelan enam fasa bagi pembukaan semula ekonomi seperti yang digariskan WHO — memutuskan (resolve), berdaya tahan (resilient), memulakan semula (restart), pemulihan (recovery), menggiatkan (revitalise) dan membuat pembaharuan (reform), 6R — dan negara kini berada pada fasa ketiga.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa mengumumkan PKPB dalam perutusan khas Hari Pekerja berkata pematuhan ketat terhadap SOP yang ditetapkan pihak berkuasa adalah perlu.

Antara SOP itu ialah penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter; kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan pensanitasi tangan; memakai penutup hidung dan mulut serta saringan kesihatan di pintu masuk premis.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga akan memberi keutamaan untuk melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kelainan upaya.

SOP lain adalah bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial; menggalakkan transaksi secara dalam talian serta melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19.

Walaupun langkah melonggarkan pergerakan di bawah PKPB telah mendapat banyak kritikan daripada organisasi tertentu dan orang ramai, rakyat Malaysia harus menyedari bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan keluk jangkitan COVID-29 kekal rata.

Ya, kini menjadi tanggungjawab orang ramai untuk membuat perubahan dalam perang negara ke atas wabak ini.

Kita perlu mempunyai disiplin dan terus mengamalkan penjarakan sosial selain bersikap mementingkan tahap kebersihan yang tinggi — satu norma baharu.

Seperti yang diungkapkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah: “sekarang tempat paling selamat adalah rumah untuk anda benar-benar memutuskan penularan COVID-19.”

Justeru, usahlah melangkah keluar dari rumah anda jika tiada alasan kukuh. – BERNAMA