COVOD-19: Pelancong Asing Terus Disekat Untuk Elak Kes Import – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 2 Mei – Kerajaan akan terus mengawal sempadan negara dan menyekat kemasukan pelancong asing ke negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia sebagai langkah bagi mengelak tercetusnya gelombang baharu kes import COVID-19 sepertimana yang terjadi di Hokkaido, Jepun, seelum ini.

“… di Hokkaido, mereka buka negara mereka dan biarkan kemasukan negara luar (pelancong luar). Pada masa itu musim bunga sakura, berlaku kes import, tetapi kita masih tutup pintu masuk negara kita (kepada pelancong asing), jadi ini antara langkah persediaan kita,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Menurutnya langkah pelaksanaan kuarantin wajib kepada rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air juga akan terus dilaksanakan bagi membendung penularan kes penyakit berkenaan dalam negara.

Baru-baru ada kalangan orang ramai menyuarakan kebimbangan apabila kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKPB mulai 4 Mei ini, dan di media sosial netizen mula berkongsi serta membandingkan kes seperti di Hokkaido, Jepun.

Kawasan pulau di utara Jepun itu mengalami gelombang kedua yang mencatatkan 135 jangkitan dalam tempoh seminggu, selepas ia menamatkan perintah berkurung tiga minggu apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka.

Ismail Sabri berkata pendekatan pengesanan kes dan saringan secara bersasar di lokasi tumpuan juga akan terus dipraktikkan bagi mengekang penularan jangkitan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga bersedia dari segi fasiliti kesihatan sekiranya terdapat kes penularan jangkitan sepanjang PKPB dilaksanakan.

“Sekarang kita lihat kes di hospital pun semakin berkurangan, jadi kita bersedia dari segi katil, ICU, ventilator dan sebagainya. Dari segi ujian (jangkitan) pula, mula-mula tidak banyak, tetapi kini kita boleh tampung seperti yang kita sasarkan iaitu lebih 16,000 ujian sehari,” katanya.

Mengulas mengenai pergerakan rentas negeri melalui penerbangan domestik, Ismail Sabri berkata ia dibenarkan hanya bagi mereka yang mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan sama seperti sebelum ini iaitu amalan jarakan sosial perlu dilakukan.

“Kita telah putuskan, bahawa penerbangan boleh beroperasi dengan SOP hanya separuh dari jumlah sebenar (kapasiti) penumpang. Kalau penumpang ada 100, cuma 50 sahaja dibenarkan.

“Begitu juga dengan bas, dua tempat duduk untuk satu orang. Sekarang penerbangan tidak terhenti dan penumpang mesti mendapat kebenaran daripada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengubahsuaian rumah, beliau berkata tuan rumah dibenarkan mengubah suai rumah dengan syarat mendapat kelulusan pihak berkuasa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.