Normal Baharu Pekerjaan Sektor Awam, Swasta Mulai Isnin – PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Sektor awam dan swasta yang akan kembali beroperasi mulai Isnin ini, akan menyaksikan normal baharu pekerjaan, antara lain mengalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain penggiliran jadual harian bekerja.

Langkah itu dibuat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati untuk memastikan penularan COVID-19 terus dibendung.

Bagi sektor awam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menggalakkan penjawat awam bekerja dari rumah kecuali bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Beliau berkata mesyuarat juga digalakkan diadakan secara dalam talian menggunakan medium yang selamat dan bagi mereka yang mempunyai kesulitan penjagaan anak-anak di rumah, kerajaan membenarkan penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu bekerja anjal.

“Saya minta supaya semua Ketua Jabatan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan masing-masing untuk menyusun semula keperluan sumber manusia di jabatan dengan mengutamakan konsep bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini.

Merujuk sektor-sektor ekonomi yang dibuka, Muhyiddin berkata majikan digalakkan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah selain menyusun jadual hari bekerja secara selang-seli antara di pejabat dan di rumah.

“Saya fikir ini juga boleh menyelesaikan masalah penjagaan anak. Walaupun pusat-pusat penjagaan kanak-kanak akan dibuka dengan mengamalkan SOP (Prosedur Operasi Standard) kesihatan yang tertentu, saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak-anak mereka.

“Jadi, kalau majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli atau every alternate days, ini boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak,“ katanya.

Perdana Menteri berkata langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan selain memudahkan penjaga mengurus kanak-kanak mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.

“Jadi saya nak minta tolong dengan majikan jika boleh benarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah supaya dibenarkan bekerja every alternate days atau bekerja dari rumah,” katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.

Katanya majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

Sempena sambutan Hari Pekerja bertema “Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu” yang jatuh pada saat negara sedang berjuang memerangi COVID-19, Muhyiddin mengingatkan pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat Hari Pekerja khususnya kepada petugas barisan hadapan – doktor, jururawat, polis, tentera, RELA, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, APMM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja di sektor awam dan swasta,

“Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan CUEPACS dan MTUC,“ katanya.

Dalam memerangi COVID-19, Muhyiddin menggesa majikan dan pekerja sentiasa mengambil langkah perlu di tempat kerja bagi memastikan kesihatan pekerja dengan melakukan pemeriksaan suhu badan setiap hari dan mendapatkan rawatan jika bergejala.

“Selain itu, anda sebagai pekerja pastikan meja, kerusi dan peralatan yang digunakan di pejabat sentiasa bersih. Elakkan sentuhan atau body contact dengan rakan sekerja yang lain,” katanya.

Muhyiddin turut meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku kes-kes bergejala di tempat kerja atau kawasan perumahan.

Katanya pengesanan kontak amat penting untuk memudahkan pengesanan jangkitan COVID-19 oleh petugas kesihatan.

“Untuk memudahkan pengesanan kontak, kerajaan telah mewujudkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace. Saya harap anda semua yang mempunyai telefon pintar muat turun aplikasi ini untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu. Ini adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.

Menyedari akan menyebabkan peningkatan pengguna pengangkutan awam dan pelanggan di stesen minyak, Perdana Menteri mahu pengusaha premis stesen minyak dan syarikat pengangkutan awam mengambil langkah pencegahan termasuk menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Dalam keadaan kita nak mengawal penularan COVID 19, kita mesti elakkan kesesakan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya. Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai,” katanya. – BERNAMA