Menteri KPT Hero Pelajar IPT – Rosni Sohar

KUALA LUMPUR, 30 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar berkata, tindakan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar di pusat pengajian tinggi (IPT) yang terkandas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk pulang ke rumah adalah satu tindakan yang wajar dan melagakan hati semua ibubapa yang terlibat.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Selangor, walaupun ia melibatkan kos yang tinggi namun tanpa keberanian, kebijaksanaan dan strategi yang baik, mustahil anak-anak ini dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Bermula Isnin lalu, anak-anak kita yang terkandas di 128 IPT sejak PKP dilaksanakan mula kembali ke pangkuan keluarga masing-masing secara berperingkat, ia pastinya melegakan ibu bapa dan semua pihak.

“Jumlah pelajar yang terlibat bukan sedikit malah ia melibatkan juga kos yang besar. Kira-kira 80,000 pelajar terkandas di IPT masing-masing. Kos penghantaran ditanggung kerajaan dan tanpa keberanian, kebijaksanaan serta strategi daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad bersama barisan kepimpinan di KPT dan IPT, mustahil anak-anak kita dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Proses penghantaran anak-anak kita ini pula bukan sekadar seperti melepas batuk ditangga, prosedur ketat yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan dilaksanakan sepenuhnya, ibarat menatang minyak yang penuh. Anak-anak kita menaiki bas dan pesawat dengan dipantau pegawai kesihatan, diiring pihak berkuasa keselamatan sehingga dipastikan benar-benar selamat dan sihat sampai ke pangkuan keluarga masing-masing,” ujar beliau menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di ‘facebook’ beliau.

Tambah Rosni, itu semua belum diambil kira lagi usaha keras Dr. Noraini untuk memastikan tiada pelajar terpaksa ‘ikat perut’ semasa PKP. Beliau turun padang hampir ke semua IPT memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Tetapi tidak pula Dr. Noraini dipuji kerana kejayaan ini sedangkan kejayaan ini adalah bukti beliau menteri buat kerja walaupun belum sampai dua bulan menjawat jawatan itu. Apa yang dilakukan oleh Dr. Noraini ini belum tentu menteri yang 22 bulan memerintah mampu merealisasikannya dalam keadaan negara berdepan kesukaran akibat COVID-19 ini.

“Tapi biasalah, jarang usaha dan perkara baik kita orang akan nampak. Orang lebih suka melihat khilaf kita berbanding 1,001 kebaikan yang dibuat,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.