COVID-19: 31 Kes Positif Direkod, Terendah Sejak PKP Dilaksana – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 28 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 18 Mac, dengan 31 kes dilapor sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, jumlah kes harian terus menunjukkan trend penurunan dan kadang kala mendatar.

Beliau berkata pencapaian itu hasil daripada tindakan proaktif dan agresif kerajaan dalam aktiviti membendung penularan COVID-19 sepanjang tempoh sebelum dan semasa PKP itu.

“Ini dapat memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit COVID-19 di Malaysia, termasuk kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan di hospital.

“PKP ini juga membantu mengurangkan interaksi antara ahli masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata dengan jumlah kes terbaharu itu menjadikan bilangan keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,851, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak penyakit itu 1,719.

“Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan dan satu kes kematian direkodkan.

“Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 adalah sebanyak 100 kes atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-100 (kes ke-3628) melibatkan lelaki warga tempatan berusia 67 tahun dan mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

Mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 9.40 pagi hari ini, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengingatkan bahawa PKP tidak boleh menghapuskan sepenuhnya COVID-19, justeru masyarakat perlu bersedia menghadapi virus itu untuk tempoh yang lebih panjang.

Beliau berkata perjuangan dalam memerangi COVID-19 harus diteruskan serta norma kehidupan yang baharu perlu menjadi amalan semua lapisan masyarakat.

“Seperti yang KKM tekankan selama ini, perjuangan kita menentang COVID-19, iaitu musuh yang tidak kelihatan ini masih panjang dan usaha kita perlu berterusan. Norma kehidupan yang baharu perlu diterapkan ke semua peringkat masyarakat agar ia menjadi amalan kita semua.

“Memandangkan masih belum ada vaksin untuk melawan jangkitan COVID-19, inilah amalan-amalan yang boleh menjadi ‘vaksin’ bagi masyarakat membantu negara memerangi penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Oleh itu, beliau menekankan penglibatan aktif rakyat adalah amat penting selain usaha KKM menjalankan aktiviti membendung dan pengawalan kerana pencapaian meratakan lengkungan dan mengawal penularan virus COVID-19 adalah kejayaan bersama. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.