PKPD Kampung Datuk Ibrahim Majid Tamat Esok – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 27 April – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang di Johor akan ditamatkan esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media harian mengenai PKP, beliau berkata segala sekatan di kawasan itu akan ditarik balik.

Ismail Sabri berkata PKPD di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang melibatkan pusat tahfiz dan sebuah rumah yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 5 Mei depan.

Penamatan PKPD bermakna kawasan tersebut akan diletakkan di bawah PKP sahaja.

Sementara itu, ditanya mengenai kes positif COVID-19 membabitkan peniaga di Pasar Borong Selayang, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Berhubung dengan isu yang timbul membabitkan warga Rohingya di media sosial baru-baru ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata polis sedang menyiasat perkara tersebut.

Beliau meminta rakyat untuk tenang dan tidak memperbesarkan perkara tersebut sehingga menganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya harap rakyat tenang, jangan timbulkan isu-isu berbangkit yang boleh cetuskan kemarahan dan situasi tidak sepatutnya. Malaysia negara aman dan bertimbang rasa kepada sesiapa sahaja di sini. Tenanglah, biar polis yang siasat,” katanya.
Mengenai PKP, menteri kanan itu berkata polis menahan 606 orang kerana ingkar PKP semalam, menjadikan jumlah kumulatif ingkar perintah kepada 20,617 orang ditahan.

Mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, Sabri Ismail berkata sebanyak 80 operasi sanitasi dilakukan semalam merangkumi 32 bangunan kerajaan, 32 tempat awam, 55 pusat perniagaan dan lapan pasar raya.

Dalam pada itu, katanya mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP hari ini meluluskan pergerakan penderma darah untuk ke hospital dan klinik kesihatan bagi tujuan menderma darah dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Sementara itu, ditanya sama ada individu yang mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia untuk mendapatkan kebenaran perjalanan rentas negeri boleh melakukan perjalanan secara berkumpulan, beliau memberitahu PDRM akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta soalan-soalan lazim (FAQ) mengenai perkara itu.

“SOP akan dikeluarkan selepas perbincangan (mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP) pada 1 Mei. Selepas 1 Mei, baru kita putuskan boleh balik atau tidak, bila boleh balik,” jelasnya.

Permohonan adalah bagi mereka yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pengisytiharan PKP mulai 18 Mac lepas.– BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.