PKP: 5 Premis Digantung Lesen, Langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling

PUTRAJAYA, 26 April – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil 158 tindakan penguatkuasaan ke atas individu dan premis didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk menggantung lesen lima premis sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan hingga Jumaat lepas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana industri atau sektor yang didapati mencemar alam sekitar dan JAS akan terus mempergiatkan penguatkuasaan.

Justeru, pihak industri serta sektor lain yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP diingatkan supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Pihak yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) juga akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tindakan lanjut termasuk penutupan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata berdasarkan kepada anggaran 1,337 premis pembuatan atau pengilangan yang dibenarkan beroperasi oleh MITI di seluruh negara, 13 peratus daripada jumlah itu terletak di hulu takat pengambilan air.

“JAS mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata jika ada pihak yang didapati melakukan pelupusan buangan terjadual secara haram, JAS boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000.

Katanya tindakan pemantauan dan penguatkuasaan merangkumi tiga gerak kerja khusus yang merangkumi aspek pencegahan, siasatan ke atas aduan dan amaran daripada sistem Program Pengawasan Kualiti Alam Sekeliling (EQMP).

Ia juga termasuk rondaan atau pemeriksaan mengejut terutamanya premis-premis di kawasan yang berisiko pencemaran, premis-premis yang terletak di hulu takat pengambilan air dan kawasan-kawasan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“Selain itu, penggunaan teknologi termasuk dron bagi tujuan pengawasan udara diteruskan bagi memantau dan mengesan sebarang isu pencemaran alam sekitar di kawasan berkaitan,” katanya

Beliau juga menyaran orang awam mengemukakan aduan berkaitan pencemaran dengan menghubungi Bilik Kawalan Operasi JAS di talian 03-88891972 atau talian penting bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi setiap hari selama 24 jam.

Aduan juga boleh disalurkan secara dalam talian melalui sistem e-aduan yang boleh diakses melalui capaian https://eaduan.doe.gov.my dan juga boleh disalurkan melalui e-mel kepada [email protected]. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.