UMNO Tidak Pernah Sertai PN… PN Bukan Satu Entiti Politik – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 25 April – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohamad Haji Hasan berkata, UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana PN bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, hubungan UMNO dengan PN ialah hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 24 April 2020 menulis tentang dilemma UMNO dalam PN dan kemungkinan UMNO akan meninggalkan PN dalam pilihanraya akan datang.

“Saya berhasrat untuk mengulas tentang hanya satu perkara iaitu kedudukan UMNO dalam PN agar semua pihak memahami dengan jelas kedudukan UMNO dan haluan politiknya. UMNO tidak pernah menyertai PH… secara mudahnya, antara UMNO dan PN adalah persefahaman untuk membentuk Kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu.

“Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan PAS yang dikenali sebagai Muafakat Nasional. Kerjasama ini diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses sumbangsaran, termasuk dibincangkan di Perhimpunan Agung sebelum Piagam tersebut dimeterai,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui BN. BN pula adalah sebuah entiti politik yang terdaftar.

“Maknanya UMNO dan PAS serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihanraya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi.

Kerjasama ini telah diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh.

”Justeru, UMNO tidak akan menghadapi apa jua dilema tentang kedudukannya dalam PN. Ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN apatah lagi PPBM dan GPS. Ia hanya menyertai Kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia,” terang beliau.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Tok mat berkata, sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihanraya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.

“UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini dan insyallah, parti yang akan memenangi paling banyak kerusi dalam pilihanraya umum seperti lazimnya. Bagaimana UMNO ingin melakukannya, itu adalah urusan dan strategi dalaman UMNO dengan sekutunya iaitu PAS dan BN.

“Sebagai parti politik Melayu terbesar, UMNO mesti bertanding di semua kerusi tradisionalnya dan kerusi yang ia sangat berpotensi untuk menang. Kekuatan UMNO adalah di kawasan ‘the Malay heartland’ dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan tersebut.

“Insyallah dengan dukungan jutaan ahli parti, orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia, UMNO akan bekerja keras untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi. Hanya dengan cara inilah, UMNO boleh menjadi parti dengan majoriti terbesar di Parlimen dan memimpin Kerajaan seperti sebelumnya,” ujar beliau.

Maka ujar Tok Mat, sesiapa yang ingin bekerjasama dengan UMNO sangatlah dialu-alukan tetapi mestilah dengan keikhlasan dan kesediaan mereka untuk menyertai Muafakat Nasional ataupun BN kerana UMNO sangat menghargai setiakawan rakan-rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.

“Sesuatu selain dari Muafakat Nasional dan BN, adalah tidak strategik kepada kelangsungan UMNO,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.