Sidang Dewan Rakyat 18 Mei Ambil Kira Keselamatan Semua Pihak – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 25 April – Kerajaan mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata kerajaan membuat keputusan akan persidangan itu berdasarkan perkembangan semasa, khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak COVID-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan-kesan jangka pendeknya.

“Pada saat kita telah hampir berjaya dalam usaha menangani COVID-19 dengan cara dan pendekatan kita sendiri, kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia bagi mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini yang antara lain meminta persidangan Dewan Rakyat itu perlu diadakan lebih daripada sehari kerana negara lain telah membuktikan ia boleh dilakukan ketika pandemik COVID-19.

Takiyuddin berkata kerajaan mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan yang disuarakan, namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara.

Takiyuddin berkata keputusan kerajaan juga adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira keperluan, pandangan serta sentimen semua pihak sama ada yang dijana secara rasmi dan langsung, mahupun secara tidak rasmi dan tidak langsung.

Menurut beliau, kerajaan akan terus mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pakar berkaitan khususnya bagi menjamin manfaat dan keselamatan semua pihak.

Dilaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah memaklumkan wakil-wakil rakyat yang Istiadat Pembukaan Parlimen telah dijadualkan pada 18 Mei ini.

Pada awalnya, sidang Dewan Rakyat dijadualkan dari 9 Mac ini sehingga 16 April dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA