Isu Etnik Rohingya : Jangan Bebankan Malaysia Dengan Tanggungjawab Global

KUALA LUMPUR, 24 April – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Edzuan Jamaludin melihat Isu pelarian etnik Rohingya ini sebenarnya telah pun menjadi agenda global yang telah dibincangkan banyak pihak dan isu ini juga telah acap kali dibincangkan di Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Parlimen.

Menurut beliau perkara berkenaan menunjukkan keprihatinan Kerajaan terhadap isu ini dan kepada NGO yang kecam kerajaan lupakah anda bahawa Malaysia telah pun memberi pelbagai bantuan kepada etnik ini.

“Selain memberi bantuan kemanusiaan dan memberi perlindungan kepada hampir 100,000 pelarian Rohingya yang berdaftar, Malaysia turut mengendalikan sebuah hospital lapangan di Cox’s Bazar (Kem Pelarian di Bangladesh).

“Benar, Malaysia tidak membenarkan mereka mendarat di perairan Malaysia. Walau bagaimanapun, bantuan-bantuan makanan, minuman dan sebagainya telah pun diberikan kepada kapal-kapal mereka. Cukuplah begitu.

“Dalam keadaan Covid-19 ini, tindakan kerajaan untuk tidak membenarkan mereka mendarat di perairan Malaysia adalah wajar. Ini melibatkan keselamatan nasional. Jika seorang daripada mereka merupakan pembawa wabak ini, sudah tentu penyebaran akan berlaku di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada isu Covid-19, tambah Fairuz etnik Rohingya ini juga memberi ancaman keselamatan lain yang mana misalnya seperti rusuhan agresif yang dilakukan pada tahun 2017 di hadapan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sehingga memaksa pasukan FRU dikerahkan untuk menahan mereka.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi pautan berikut. https://www.google.com/…/perhimpunan-bantah-kekejaman-di-ra…

“Apa yang merisaukan, etnik Roghingya ini juga ada yang terlibat dengan jenayah seperti kes samun. Telah banyak yang dilaporkan. Ada yang turut menjadi “kepala” penyamun di Malaysia seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 2017:https://www.google.com/…/s/www.hmetro.com.my/node/239191/amp

“Belum lagi disentuh tentang perniagaan tanpa lesen seperti di Pasar Borong Selayang, soal kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk menampung mereka ini, soal persaingan pekerjaan dengan warga tempatan dan hal-hal lain seperti pendidikan. Lebih banyak mudaratnya berbanding kebaikan,” ujarnya.

Ujar beliau pendirian negara jelas, yang mana memegang kepada prinsip kemanusiaan dan dalam masa yang sama kita juga perlu tumpu kepada isu keselamatan dalam negara.

Ujar beliau lagi bantu tidak semestinya perlu terima mereka ini sewenang-wenangnya memasuki negara dan bantuan juga boleh dalam pelbagai bentuk lain.

“Krisis ini perlu diambil tindakan segera di peringkat global untuk membantu Etnik Rohingya. Kerajaan Myanmar harus didesak supaya menamatkan dasarnya yang melaksanakan pengusiran dan diskriminasi ke atas masyarakat Rohingya dengan meminda semula Burma Citizenship Law yang diluluskan pada 1982.

“Kerajaan Myanmar juga perlu didesak agar mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai warganegara Myanmar berdasarkan bukti yang ada termasuk faktor sejarah. Rohingya juga wajar diberi perhatian lebih adil oleh masyarakat Islam dunia, khususnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Pertubuhan ini tidak harus sekadar “mengutuk” kezaliman yang berlaku malah harus bertindak dengan lebih efektif dan proaktif dalam menangani isu ini. Negara Asean juga harus membantu menyelesaikan konflik yang berlaku di Myanmar sebagai salah satu anggota Asean,” tambahnya.

Tambah beliau masyarakat antarabangsa terutamanya PBB juga harus terus memberi sokongan berterusan kepada golongan minoriti ini dan menggesa Myanmar untuk melakukan perubahan dasarnya terhadap golongan Rohingya yang tertindas.

“Gesaan dan sokongan ini pula harus konsisten dan tidak bermusim agar impaknya lebih besar dan berkesan. Hadiah Keamanan Nobel yang dianugerahkan kepada Aung San Su Kyii juga harus ditarik balik kerana berdiam diri atas kekejaman dan pembantaian kerajaan Myanmar terhadap umat Islam di Rohingya.

“Penyelesaian tuntas isu ini pada dasarnya tetap berbalik kepada PBB. Mereka ini lebih berkuasa. Jika PBB dapat menghentikan penindasan kerajaan Myanmar di Rakhine, nescaya etnik-etnik ini tidak lari merata tempat di dunia.

“Jadi, tak perlu pun bangkitkan soal xenofobia. Tiada isu langsung berkaitan xenofobia di sini. Kepada yang kecam kerajaan Malaysia, fikir-fikirkan, renung-renungkan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.