Penduduk PKPD Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Selayang Dibekal Makanan Secukupnya – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 23 April – Penduduk kawasan Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Selayang akan dibekalkan makanan secukupnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di situ.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan bekalan makanan yang tidak mencukupi kerana yang diberikan itu hanya meliputi bekalan asas seperti beras dan tepung gandum.

“Bekalan makanan akan dihantar kepada semua penduduk mengikut pintu untuk 14 hari sehingga akhir tempoh (3 Mei) dan diberi sebanyak dua kali hantaran iaitu satu hantaran bekalan makanan itu memadai untuk tujuh hingga 10 hari.

“Kami juga telah membuat bancian bahawa 1,500 unit rumah merupakan penghuni warganegara dan agihan makanan termasuk lauk-lauk makanan tin dan sejuk beku akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dibantu oleh RELA, tentera dan polis,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke kawasan PKPD Pusat Bandar Utara di sini, hari ini.

Proses pengagihan makanan juga perlu mengikuti garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu memakai peralatan perlindung diri (PPE) dan diagih mengikut unit rumah.

“Kami telah membuat bancian dan pengedaran itu hanya kepada unit-unit yang telah didaftarkan, tidak boleh ambil secara rawak dan kami mahu pastikan semua mencukupi terutamnya menjelang bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata bagi bukan warganegara, mereka juga akan diberi bekalan makanan asas melalui tabung sumbangan yang telah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Terdapat 8,000 hingga 10,000 penduduk bukan warganegara di kawasan ini yang mendiami kira-kira 1,700 unit rumah, dan bantuan makanan akan diberikan kepada mereka oleh petugas daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Bagi memastikan bekalan makanan mencukupi ketika bulan Ramadan, kedai-kedai runcit yang ada di setiap blok perumahan akan dibenarkan beroperasi.

“Petugas-petugas keselamatan akan memantau kedai-kedai runcit ini bagi memastikan pelanggan-pelanggannya mengamalkan penjarakan sosial sepanjang PKPD.

“Peniaga juga boleh memohon kebenaran untuk mendapatkan bekalan tambahan sekiranya mereka kehabisan stok untuk kedai mereka,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata tiga buah ambulans disediakan di kawasan PKPD bagi membantu sebarang kes kecemasan.

Pada Isnin lepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula hari yang sama sehingga 3 Mei.

Ia membabitkan Pusat Bandar Utama yang dikategorikan sebagai Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.