Malaysia Syor Negara Asean Merumuskan Mekanisme Berkaitan Lebihan Makanan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 23 April – Malaysia hari ini mengesyorkan agar negara anggota ASEAN merumuskan mekanisme untuk menyalurkan lebihan makanan mereka ke negara-negara di seluruh dunia yang berdepan kekurangan bekalan semasa pandemik COVID-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kejayaan inisiatif itu nanti bukan hanya berpotensi melonjakkan perdagangan daripada ASEAN ke dunia tetapi juga akan meningkatkan pendapatan para petani, penternak dan nelayan ASEAN.

“Dalam waktu biasa, lebihan makanan kita akan dieksport ke pasaran asing untuk memastikan tiada pembaziran. Tetapi dalam waktu ini yang tidak pernah berlaku sebelum ini, pasaran ditutup untuk tempoh yang tidak diketahui dan bila ekonomi akan pulih semula seperti sebelum COVID-19,” katanya dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat (AS) mengenai COVID-19, yang berlangsung secara maya hari ini.

Hishammuddin berkata Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk memastikan sektor ekonomi tertentu kekal dibuka sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga telah mewujudkan Dana Jaminan Makanan.

Dalam mesyuarat itu, yang turut dihadiri Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, Hishammuddin berkongsi mengenai situasi terkini COVID-19 di dalam negara, yang merekodkan 5,532 kes positif dengan 3,452 telah sembuh setakat tengah hari semalam.

“Saya akui, angka ini tampak bagus, tetapi kejayaan sepenuhnya adalah melangkaui daripada sekadar memberi tumpuan pada statistik. Pada awalnya, kami memberi tumpuan pada usaha mengawal penularan coronavirus dalam kalangan penduduk, memutuskan rantaian jangkitan menerusi pelaburan segera dalam sistem penjagaan kesihatan kami; dan menyumber peralatan dan amalan terbaik daripada luar negara.

“Selepas itu, kamu kemudian beralih untuk memberi tumpuan kepada perkara berkaitan aspek kewangan,” katanya.

Berhubung ekonomi, Hishammuddin berkongsi mengenai langkah Malaysia yang telah mengumumkan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi yang keseluruhannya bernilai US$64.6 bilion, iaitu 18.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), untuk membantu golongan B40, M40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Mikro (MSME).

“Ini bagi memberikan bantuan langsung kepada rakyat, memastikan tunai disalurkan terus kepada mereka yang terjejas oleh PKP,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai isu pendidikan dalam tempoh mencabar ini, menyatakan Malaysia telah menutup sekolah dan institusi pendidikan dan meminta pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian dari rumah.

“Dan saya pasti perkara ini bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia sahaja; terdapat ribuan, jika bukan jutaan, rakyat negara ASEAN di luar negara yang berdepan situasi sama, Saya faham bahawa dalam tempoh luar biasa ini, ia memerlukan langkah-langkah luar biasa, dan kita sebagai negara-negara perlu bekerjasama untuk memastikan rakyat negara kita kekal kuat dan tabah dalam mengharungi krisis ini,” kata Hishammuddin.

Menyentuh mengenai sistem sosial, beliau berkata dilema kini terletak pada apa yang akan berlaku apabila PKP tamat, berikutan sekatan berkenaan mempunyai kesan rumit terhadap sosial dan menjejaskan keupayaan masyarakat untuk perteguh persahabatan, berkomunikasi dan mengekalkan jalinan perhubungan.

Namun, Hishammuddin berkata masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga ubat dan vaksin untuk mencegah COVID-19 ditemui, dan menurutnya mencari vaksin perlu menjadi keutamaan ASEAN dan AS.

“Kita perlu saling bekerjasama untuk memastikan kita bersama-sama menggabungkan kekuatan kita untuk menghentikan pandemik ini dan mengurangkan impaknya terhadap masyarakat kita. Keutamaan segera kita sebagai negara untuk menyelamatkan nyawa adalah amat penting dan kerjasama merupakan kuncinya.

“Sebagai pemimpin, kita mesti berani dan ikhlas dalam usaha kita untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat kita. Saya yakin menerusi kerjasama antara ASEAN dan AS, kita boleh dan akan menangani ini bersama-sama,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.