Tahniah ‘Frontliners’, Syabas Rakyat… Terus Patuhi Arahan Kerajaan Putuskan Rangkaian COVID-19

KUALA LUMPUR, 22 April – Penghargaan dan ucapan tahniah serta terima kasih bukan hanya untuk para petugas barisan hadapan (frontliners) tetapi rakyat juga wajar menerima pujian kerana kepatuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Perpegarakan (PKP) dalam membantu kerajaan menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pendekatan kerajaan Malaysia meletakkan negara dalam tempoh pandemik yang semuanya adalah terbatas memberikan norma baru kepada rakyat.

“Tahniah kepada ‘frontliners’ yang gigih menyusun suasana baru ini. Di Kedah juga rakyat sahut seruan kerajaan, maka tahniah juga kepada rakyat yang patuh seruan kerajaan untuk duduk di rumah, sehinggakan keluar macam-macam istilah untuk menaikkan semangat agar kepatuhan itu dapat dibuat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata COVID-19 ini memberikan satu kebiasaan baru kepada rakyat iaitu berada dalam rumah, makan, bergerak malah membeli-belah juga dilakukan di dalam rumah secara dalam talian.

“Pada peringkat awal… waktu mula-mula COVID-19 ini wujud ramai yang tak pasti khususnya mereka yang bekerja bersifat harian, bergaji hari misalnya bersawah, berkebun getah, bersawit yang termasuk dalam golongan B40 dan mereka adalah golongan yang mudah terjejas pendapatan, termasuk penjaja, peniaga pasar pagi, nelayan… dalam keadaan awal kita seakan hilang arah tapi tabah ikut arahan kerajaan, dan kemudian selepas penjelasan dan peruntukan pakej PRIHATIN, maka ini memberikan kelegaan. Rakyat berasa selesa dan B40 ini merasa lega.

“Fasa pertama, kedua dan ketiga dipatuhi dengan baik oleh rakyat dengan petugas ‘frontliners’ yang sangat komited.

“Tahniah, terima kasih kepada ‘frontliners’ kepada mereka yang menjaga sempadan daripada negara dibolosi oleh orang luar termasuklah diperairan negara… pendekatan menyekat COVID-19 tak dibenarkan kemasukan di pintu sempadan dan aktiviti-aktiviti di sempadan juga telah dikuatkuasakan berkat tenaga pihak berkuasa atas kebimbangan yang cukup tinggi kesan daripada mereka yang mungkin masuk ke dalam negara. Di sempadan keadaan menjadi sunyi dan lengang.”

Terang beliau, fasa ketiga memberikan suasana cukup positif apabila Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dikategorikan negeri Zon Hijau iaitu antara negeri yang mampu membendung wabak ini dengan sebaik-baiknya.

“Diperingkat negara juga semakin baik walaupun belum pulih sepenuhnya. Kita cari ubatnya tapi tindakan yang dilakukan oleh rakyat adalah usaha yang baik apabila terus patuh dan duduk di rumah.

“Kerajaan juga melalui Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiap-tiap hari memberikan penjelasan-penjelasan yang cukup baik dan sebelah petangnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula beri penerangan-penerangan berkaitan COVID-19 ini.”

Beliau berkata demikian dalam segmen khas terbitan Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui UMNO-Online, malam tadi.

Dalam hal tersebut, beliau melihat satu suasana baru apabila COVID-19 ini merentasi fahaman politik, bangsa, agama dan budaya sendiri untuk saling membantu.

“Semangat melimpah ruah untuk saling membantu, yang sakit atas pendapatan terjejas sebelum ini juga saling membantu, bukan hanya tunggu bantuan dari kerajaan sahaja tetapi juga rakyat saling menghulur bantuan, bukan hanya nak lihat rumah sendiri tetapi juga timbulkan kerisauan kepada jiran-jiran sama ada makan atau tak makan.

“Ini adalah keprihatinan yang cukup jelas dikalangan rakyat untuk saling membantu tanpa melihat kepada agamanya, bangsanya, budayanya, atau fahaman politik sekalipun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.