PKP: Saring Pekerja Setiap Hari Antara SOP Di Tapak Pembinaan

PUTRAJAYA, 22 April – Menyediakan alat saringan suhu badan serta menyaring kesihatan pekerja di tapak pembinaan adalah antara syarat yang perlu dipatuhi kontraktor dan syarikat yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemeriksaan suhu badan dan saringan gejala seperti batuk, sakit tekak dan sesak nafas perlu dilakukan setiap hari di pintu masuk tapak atau premis pembinaan.

“Selain itu, waktu kerja di tapak pembinaan ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang sahaja, lima hari seminggu,” katanya pada sidang media mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembinaan Semasa PKP di sini hari ini.

Turut tersenarai dalam SOP itu ialah kontraktor dan syarikat perlu menyediakan pengangkutan pekerja, memastikan amalan jarakan sosial dan mengurangkan bilangan pekerja ke tahap minimum atau tidak lebih 50 peratus daripada keperluan biasa.

Syarat lain ialah menggalakkan pekerja menyiapkan tugasan “deskjob” di rumah, sebagai contoh tugas perkeranian, mereka bentuk dan tugas lain yang berkaitan. 

Fadillah berkata kontraktor dan syarikat juga perlu mengenal pasti seorang pegawai yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelia Keselamatan Tapak (SSS) atau pemilik syarikat sendiri.

“Setiap pekerja perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak,” katanya.

Jelasnya lagi, SOP itu merangkumi tiga aspek iaitu pencegahan di tapah pembinaan, pergerakan pekerja dan di kuarters pekerja.

Ia melibatkan SOP Kebenaran Beroperasi serta Pergerakan Pekerja bagi Projek Pembinaan dalam PKP, Garis Panduan Amalan Langkah Pencegahan COVID-19 di Tapak Bina serta Garis Panduan Operasi Centralised Labour Quarters (CLQ) dan Penginapan Pekerja Binaan semasa PKP

“Semua dokumen ini boleh dicapai di laman web application.miti.gov.my/daftar dan www.cidb.gov.my,” katanya.

Fadillah menegaskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan dilaksana bagi memastikan semua syarikat yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP tersebut dan tiada syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.

Sekiranya syarikat didapati ingkar SOP, katanya, tindakan yang akan dikenakan termasuk kerja pembinaan dihentikan serta-merta, tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berdasarkan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.