Jangan Harapkan Bantuan? Kerajaan Negeri Sabah Jangan Terlalu Berkira – Musliati

KUALA LUMPUR, 22 April – Kepada siapa lagi rakyat mahu harapkan jika kerajaan sendiri tidak mahu membantu rakyatnya, demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin.

Musliati memberi reaksi demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berharap rakyat jangan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Jelas Musliati kepada UMNO Online, adalah mustahil jika Shafie tidak sedar bahawa ramai rakyatnya terjejas terutama mereka yang berpendapatan harian kesan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 sekarang.

“Ini jelas, kerana kawalan PKP ini sekaligus membantutkan pekerjaan-pekerjaan yang sedia ada dan untuk itu Kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat.

“Tetapi lain pula suasananya di Sabah, Ketua Menteri sendiri mengharapkan agar rakyatnya tidak terlalu bergantung kepada kerajaan. Bukankah tanggungjawab kerajaan menjaga kebajikan rakyatnya?

“Lalu kepada siapa mereka ingin bergantung? Adakah kamu nak tengok rakyat terpaksa keluar berkerja musim PKP ini untuk mendapatkan punca pendapatan jika kamu terlalu berkira membantu rakyat?” bidasnya.

Tambahan pula katanya lagi, pakej rangsangan bantuan COVID-19 yang diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum ini tidak merangkumi semua penduduk yang ada di negeri ini.

“Pakej bantuan untuk B40 itupun tak semua dapat, hanya untuk yang tertentu sedangkan kita sedia maklum, waktu sekarang hampir semua sedang terjejas ekoran krisis virus ini.

“Untuk itu, saya kira inilah waktu yang sangat tepat untuk salurkan bantuan kewangan kepada rakyat, dalam masa yang sama dapat meningkatkan ekonomi negeri. Tolonglah bekerja untuk rakyat,” gesanya.

Mengulas mengenai pemberian tunai seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat ketika PKP ini, Musliati berkata ia satu tindakan yang amat wajar sebagaimana yang pernah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum ini.

“Tak perlu pergi jauh, kita mengambil contoh semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak yang mampu meningkatkan rizab negara sebanyak RM1.2 trillion daripada RM800 billion pada tahun 2008 dengan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat, untuk menyemarakkan ekonomi setempat dan seterusnya negara.

“Ini menunjukkan maksud sebenar “cash is king” yang diputarbelit selama ini oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai dedak rasuah kepada rakyat.

“Ini terbukti banyak negara telah menggunakan pendekatan ini untuk menyelamatkan ekonomi negara masing-masing,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.