Tiga Kementerian Bekerjasama Pastikan Malaysia Proaktif Dapatkan Vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 21 April – Tiga kementerian iaitu Kementerian Luar, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama untuk memastikan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam mendapatkan vaksin bagi pandemik COVID-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerjasama itu bertujuan memastikan Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk mendapat akses kepada pembangunan vaksin COVID-19 serta mampu terus mendapatkan vaksin itu apabila ia siap dihasilkan.

“Kolaborasi antara ketiga-tiga kementerian ini sangat penting sebab sekarang ini sedang berlangsung pra-klinikal dan percubaan klinikal di beberapa negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan ketiga-tiga kementerian di MOSTI di sini, hari ini.

Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga membuat keputusan untuk menggunakan pendekatan ‘berdasarkan diplomasi sains’ dalam mendapatkan vaksin COVID-19.

“Jadi KKM dan MOSTI akan kenal pasti vaksin dan perubatan yang diinginkan dan lihat pembangunan vaksin serta negara yang sedang membangunkan vaksin itu.

“Maklumat itu akan dikongsi bersama Wisma Putra yang akan jalinkan hubungan diplomasi dengan negara yang sedang hasilkan vaksin supaya Malaysia dapat terlibat di peringkat ujian,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu mampu memastikan Malaysia terlibat dalam penghasilan vaksin COVID-19 dan menerima vaksin itu secepat mungkin apabila ia telah siap sedia diguna pakai oleh orang ramai.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain vaksin COVID-19 kerjasama ketiga-tiga kementerian berkenaan juga bertujuan mengenal pasti ubat bagi COVID-19.

“Vaksin adalah untuk menghalang COVID-19 dan perubatan bagi merawat,” tambah beliau.

Jelas Hishammuddin, jalinan diplomatik dan penglibatan dengan negara yang menghasilkan vaksin COVID-19 mampu mengurangkan tempoh menunggu vaksin COVID-19 bagi Malaysia.

“Jika Malaysia sudah ada hubungan dan kerjasama dengan negara yang membangunkan vaksin, Malaysia boleh mendapat keutamaan untuk mendapatkan vaksin itu,” katanya.

Beliau berkata dua negara yang sudah bersetuju membekalkan hydroxychloroquine (HCQ) kepada Malaysia ialah Bosnia dan India.

Ditanya mengenai negara yang Malaysia sudah kenal pasti untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin itu, Khairy menjelaskan antaranya ialah China, United Kingdom, Korea Selatan, India, Bosnia dan Rusia.

“Ini senarai awal, ada negara yang sudah berhubung dengan Malaysia dan ada yang Malaysia akan hubungi mereka,” katanya dan menambah bahawa bahawa Malaysia akan terlibat dalam ‘percubaan klinikal’ dan ‘percubaan manusia’ bersama negara yang dikenal pasti itu.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tempoh penghasilan vaksin COVID-19 yang dijangka mengambil masa 18 hingga 24 bulan akan dapat dipercepatkan kerana COVID-19 sudah menjadi pandemik global.

Sementara itu, MOSTI dalam kenyataan memaklumkan bahawa kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur mengenai kemungkinan kerjasama dalam ujian klinikal untuk vaksin COVID-19.

‘MOSTI berharap dapat terlibat dalam kerjasama yang lebih banyak bersama kedutaan antarabangsa lain,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebuah universiti dari China menunjukkan minat untuk menjadi rakan strategik MOSTI dalam membangunkan vaksin COVID-19 secara bersama melalui penyelidikan klinikal, dan ujian klinikal itu dijangka dilaksana pada akhir April ini di Malaysia.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.