PKP: Polis Tahan Lelaki Dipercayai Warga Asing Cuba Lari Dari Kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 21 April – Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing yang cuba melarikan diri daripada kawasan Pasar Borong Selayang di sini, yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi tadi, lelaki berusia sekitar 40-an itu dikatakan telah memanjat pagar kawat berduri yang dipasang dan keluar ke jalan raya untuk melarikan diri daripada kawasan itu.

Pemberita Bernama yang berada di lokasi kejadian melihat suspek melintas jalan raya dan hampir dilanggar sebuah kenderaan sebelum ditahan anggota polis dan tentera.

Pemandu teksi yang berada di kawasan itu mengaku yang ada warga asing cuba melarikan diri dari kawasan itu sejak semalam, malah mereka dengan berani memotong kawat berduri yang dipasang untuk keluar.

Sementara itu, tinjauan mendapati kawalan ketat mula dilaksanakan di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang di sini bagi mengelak pergerakan keluar masuk orang ramai di kawasan itu.

Anggota polis dan tentera dilihat melakukan kawalan di setiap pintu masuk malah dua menara tinjau dibina oleh pihak tentera bagi memantau pergerakan orang ramai di kawasan itu.

Seawal pukul 10 pagi, proses sanitasi telah dilaksanakan di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang itu malah petugas kesihatan juga hadir membuat pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata kira-kira 16,000 penduduk di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang yang dikenakan PKPD akan menjalani saringan COVID-19.

Annuar berkata enam kem saringan COVID-19 dengan 500 petugas kesihatan akan ditempatkan di enam kawasan meliputi lapan parcel yang dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, dalam status PKPD sehingga 3 Mei depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.