PKP: Majikan Kejam Buang Pekerja, Culas Bayar Gaji Perlu Dikenakan Tindakan Tegas – Hairi

KUALA LUMPUR, 21 April – Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara merupakan krisis kesihatan yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berpandangan antara yang turut diberikan penekanan adalah isu membabitkan pekerja yang memfokuskan kepentingan majikan dan kebajikan pekerja.

Katanya, namun di sebalik usaha yang dilakukan oleh kerajaan, terdapat majikan yang sanggup membuang pekerjanya dan tidak membayar gaji semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Saya berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia perlu segera menyiasat majikan yang berbuat demikian. Persoalannya, kenapa masih ada majikan yang ‘kejam’ membuang pekerja dan ada juga yang culas membayar gaji serta memotong gaji pekerja?

“Jika mereka sengaja dengan ‘kejam’ memberhentikan pekerja, culas membayar gaji dan memotong gaji, majikan terbabit perlu dikenakan tindakan tegas termasuk didenda.

“Semua pihak iaitu majikan dan pekerja perlu bersikap toleransi. Majikan jangan mengambil peluang dan pekerja juga dinasihatkan jangan mengambil kesempatan dalam kesempitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hairi lagi, dalam situasi getir ketika ini, majikan seharusnya melakukan rundingan dengan pekerja bagi mencapai keputusan bersifat ‘menang-menang’.

Ulasnya juga, Kementerian Sumber Manusia sudah meminta supaya majikan memastikan pekerja tidak diberhentikan dan dibayar gaji penuh sepanjang PKP tetapi yang menjadi persoalan mengapa perkara itu masih berlaku.

“Antaranya ialah pilihan pemotongan gaji secara sementara, bayar gaji separuh atau pengambilan cuti tanpa gaji sepanjang pelaksanaan PKP.

“Golongan pekerja juga seharusnya bersyukur melalui hasil rundingan dicapai daripada terus diberhentikan atau tidak dibayar gaji langsung.

“Benar… mengurangkan pekerja adalah hak prerogatif majikan, namun kerajaan perlu memastikan majikan yang berbuat demikian mempunyai alasan kukuh,” tegasnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.