Pasukan Respons Pantas Jelaskan 205 Berita Palsu Sejak 24 Mac

KUALA LUMPUR, 21 April – Pasukan Respons Pantas (PRP) yang memantau berita dan hebahan yang mencurigakan kesahihannya telah menjelaskan 205 berita palsu kepada orang ramai sejak ditubuhkan pada 24 Mac lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata berita palsu yang dijelaskan melibatkan perkara seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hal-hal berhubung pandemik COVID-19 yang menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat.

“Fokus PRP adalah untuk memantau dan menjelaskan berita-berita mahupun hebahan-hebahan yang mencurigakan kesahihannya dan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak terlibat agar berita dan hebahan tidak menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, PRP yang dianggotai oleh petugas jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus bekerja sepanjang PKP berkuat kuasa.

Justeru, beliau memohon rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya selain mendapatkan kepastikan di portal Sebenarnya.my (https://sebenarnya.my/).

Dalam kenyataan itu, Saifuddin turut menasihati orang ramai agar duduk di rumah, kerap membasuh tangan dan menjarakkan diri satu meter sebagai langkah pencegahan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.