Kerajaan Akan Perhalusi SOP Jika Ada Keputusan Benarkan Pelajar IPT Pulang – Ismail Sabri


PUTRAJAYA, 21 April – Isu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada dalam tempoh agak lama di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian apabila kerajaan akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) jika ada keputusan untuk membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan SOP berkenaan, tanpa menetapkan tempoh bila ia dijangka siap.

Beliau berkata SOP itu penting bagi memastikan kepulangan kira-kira 100,000 pelajar ke rumah masing-masing tidak berlaku secara serentak, sekali gus mengelak berlakunya pergerakan besar-besaran.

“Kita telah berbincang tadi, bahawa ada kemungkinan kita boleh benarkan mereka pulang, bagaimanapun kita mahukan satu SOP yang ketat.

“Kita mungkin memerlukan mereka untuk mendapatkan saringan kesihatan dahulu sebelum pulang ke kampung, dan itu antara perkara yang kita lihat,” katanya pada sidang media harian selepas menghadiri mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata pihaknya juga berpuas hati apabila mendapati bahawa selepas sebulan, tiada penularan wabak COVID-19 di kampus dan para pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan.

“Kalaulah mereka diperlukan untuk membuat saringan kesihatan…100,000 pelajar, ia mungkin mengambil masa agak lama.

“Jadi kalau kita hendak benarkan dan buat saringan kesihatan, kita perlu tahu jangka masa membabitkan hampir 100,000 pelajar. Barulah kita boleh tentukan bila tarikh bermula,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum bahawa ada rakyat Malaysia sudah lama berada di kampung susulan penguatkuasaan PKP dan ingin pulang ke rumah masing-masing.

“Jadi SOP itu juga akan terpakai kepada mereka,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini, kerajaan telah mengagihkan sebanyak 23.4 juta keping atau 69 peratus penutup hidung dan mulut daripada jumlah keseluruhan peruntukan 32.4 juta keping penutup hidung dan mulut.

Katanya baki sembilan juta keping penutup hidung dan mulut masih dalam proses agihan dan dijangka selesai diedarkan dalam minggu ini.

Beliau berkata pengagihan penutup hidung dan mulut di Sabah dan Sarawak akan bermula hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memberi empat keping penutup hidung dan mulut kepada setiap isi rumah secara percuma dan ia diagihkan oleh Pejabat Daerah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.