COVID-19: Malaysia Catat Kes Harian Pada Dua Angka Lima Hari Berturut-turut

PUTRAJAYA, 21 April – Sebanyak 57 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, sekali gus menyaksikan bilangan jangkitan wabak itu kekal pada paras dua angka selama lima hari berturut-turut di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes harian itu menjadikan jumlah kes kumulatif kini sebanyak 5,482 manakala seramai 54 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad.

“Dalam tempoh beberapa hari ini, bilangan kes harian menunjukkan trend penurunan yang amat memberangsangkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, jumlah kumulatif kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad ialah sebanyak 3,349 kes iaitu bersamaan 61.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 2,041 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Daripada 57 kes baharu, 18 adalah kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan 39 kes adalah kes penularan tempatan,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 43 pesakit COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 27 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lepas iaitu sebanyak 69 kes dan paras dua angka itu kekal sehingga kini dengan 54 kes (18 April), 84 kes (19 April) serta 36 kes (20 April).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat penambahan tiga lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian ialah 92 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, kematian ke-90 merupakan kes ke-2,050 iaitu wanita warganegara Malaysia berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi.

“Beliau adalah ibu kepada kes ke-2,053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama). Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac lepas dan disahkan meninggal dunia pada 20 April (semalam), pukul 1.47 tengah hari.

“Kes kematian ke-91 (kes ke-4,090) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 21 April, pukul 2.28 pagi,” jelasnya.

Kes kematian ke-92 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia (kes ke-5,332) berusia 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan demensia.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-4,711. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 21 April, pukul 1.30 pagi,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati agar rakyat Malaysia terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu kerajaan menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti.

“Ini terutama bagi memastikan tidak berlaku jangkitan merentas negeri, daerah dan mukim. Selain daripada aktiviti kawalan sempadan, pematuhan masyarakat terhadap PKP akan seterusnya memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar terus mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun serta mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.