COVID-19: Jangan Sampai Rakyat Hilang Tempat Tinggal, Pemuda UMNO Tawar Khidmat Nasihat Perundangan

KUALA LUMPUR, 21 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Nik Saiful Adli Burhan tertarik dengan kenyataan Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai nasib penyewa rumah yang tidak mempunyai pendapatan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya tidak mampu membayar sewa kepada pemilik rumah.

Ujarnya, sememangnya apa yang ditekankan oleh Pemuda UMNO ialah kerisauan jika ianya meningkatkan lagi jumlah penduduk yang tiada tempat tinggal akibat kegagalan membayar sewa.

“Dalam hal ini, tuan rumah bukan sahaja perlu menggunakan budi bicara, tetapi perlu tahu apa hak-hak penyewa terhadap kediaman yang disewa, meskipun telah gagal melunaskan bayaran sewa. Menghalau bukanlah sesuatu tindakan yang sah seandainya tiada perintah daripada mahkamah.

“Bercakap dari sudut undang-undang, satu-satunya undang-undang yang mengawalselia hak-hak penyewa dan tuan rumah ialah Akta Relief Spesifik 1950. Seksyen 7(2) akta ini dengan jelas menyatakan bahawa penyewa yang telah tamat atau ditamatkan tempoh sewaan kerana ingkar membayar sewa dan sebagainya, hanya boleh dihalau keluar melalui perintah mahkamah,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Seterusnya tambah Pengerusi Sekretariat Peguam Muda itu lagi, undang-undang tersebut sudah memadai untuk melindungi penyewa untuk waktu yang singkat daripada kehilangan rumah kerana kegagalan membayar sewa sepanjang PKP.

“Meskipun jika terdapat klausa-klausa tertentu dalam penjanjian penyewaan antara kedua-dua pihak yang membenarkan penyewa dihalau keluar, semestinya klausa yang tidak selari dengan peruntukan akta ini adalah terbatal dan tidak boleh terpakai.

“Namun begitu, penyewa pula janganlah mengambil kesempatan menggunakan peruntukan undang-undang ini untuk mengelak daripada membayar sewa rumah,” katanya.

Ulasnya juga, pada masa bank-bank dan institusi kewangan rata-ratanya memberikan moratorium dengan menangguhkan bayaran pinjaman selama 6 bulan, penyewa rumah mungkin tidak akan menikmati secara terus, hasil daripada pelaksanaan bantuan ini malah, rumah-rumah yang diberi sewa banyak yang masih dalam pinjaman bank yang mana pemilik rumah sewa tersebut menerima manfaat daripada moratorium ini.

Justeru itu katanya, walau apa pun peruntukan undang-undang dan hak-hak setiap pihak, Pemuda UMNO menyeru semua pihak untuk berbincang dengan baik tanpa menindas mana-mana pihak.

“Di dalam suasana bencana sebegini, tidak ada sesiapa pun yang wajar mengaut keuntungan mahupun mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

“Pada masa yang sama, adalah wajar pihak kerajaan meneliti hal ini serta mencari kaedah penyelesaian yang standard supaya tuan rumah tidak mengalami kerugian yang serius dan pada masa yang sama, rakyat yang terkesan akibat wabak ini terus diberi perlindungan dan terus boleh tinggal di rumah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nik Saiful berkata, bagi penyewa yang terkesan dengan wabak COVID-19 dan dihalau keluar rumah sewa, Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO sedia membantu dari segi khidmat nasihat berkaitan perundangan dan memastikan tiada rakyat yang tertindas sepanjang tempoh semua pihak menangani wabak tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.