Tiada Lagi Kumpulan Besar Rakyat Malaysia Kerja Di Singapura Balik Serentak – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 18 April – Tiada lagi kumpulan besar rakyat Malaysia bekerja di Singapura yang balik serentak, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ini kerana perkhidmatan pengeluaran keperluan asas termasuk kilang yang mengeluarkan produk keperluan harian, masih beroperasi di Singapura.

“Kilang-kilang yang mengeluarkan produk-produk keperluan harian seperti makanan, masih tidak ditutup di Singapura. Jadi mereka (rakyat Malaysia) masih bekerja di sana,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Beliau berkata seperti yang telah dipersetujui bersama antara Malaysia dan Singapura, majikan ataupun kerajaan Singapura, menanggung kebajikan rakyat Malaysia dari segi tempat tinggal dan makan/minum.

“Selagi kilang-kilang (di Singapura) tidak ditutup, tiada lagi kumpulan besar yang balik serentak. Satu hari lebih kurang 200 orang sahaja yang pulang dari Singapura ke Malaysia, melalui Johor Bahru. Setakat ini mereka yang pulang dikuarantin secara wajib di Johor Bahru, sama ada di hotel dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib rakyat Malaysia di Singapura, susulan situasi COVID-19 yang membimbangkan di negara itu.

Semalam dilaporkan seramai 11 rakyat Malaysia merupakan antara 623 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura. Setakat ini republik itu mencatatkan 5,050 kes positif.

Namun begitu Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah mempunyai perancangan awal jika rakyat Malaysia ingin pulang.

Justeru beliau berkata, kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura melalui Tambak Johor, akan dibuat secara berperingkat dan bukannya serentak.

“Tetapi untuk akan datang, kita tak tahu, pekerja kita ramai di Singapura. Jadi Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) berbincang dengan rakan sejawatnya di Singapura, supaya kalau ada kemasukan, kita buat secara berperingkat tidak boleh balik serentak.

“Kalau ada 1,000 orang, tidak boleh balik serentak. Mungkin 200 ke 300 orang sehari, supaya kita boleh menguruskan,” katanya.

Ditanya apa prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura khususnya melibatkan pekerja sektor logistik, Ismail Sabri berkata SOP yang ditetapkan adalah, mereka mesti melalui saringan kesihatan di pintu masuk kedua-dua negara.

Mengenai pengurusan pusat kuarantin, Ismail Sabri berkata seramai 1,589 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam, dan telah dikuarantin wajib.

Katanya setakat semalam, sebanyak 190 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 185 pada hari sebelumnya, yang mana 17,008 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Seramai 11,861 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu,” katanya.

Ismail Sabri juga menyeru agar pihak hotel tampil dan beri kerjasama kepada kerajaan, untuk mewartakan premis masing-masing, sebagai pusat kuarantin.

Katanya pihak yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan kerajaan menawarkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.