Kerajaan Diharap Percepatkan Kelulusan Bantuan Pinjaman Kepada PKS – Fairuz

KUALA LUMPUR, 18 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Edzuan Jamaludin berkata ramai usahawan mikro mengeluh mengenai kelambatan kelulusan bantuan pinjaman yang diperuntukan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), terutamanya melibatkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro – COVID (CBRM).

Menurut beliau kelambatan itu sudah tentu memberi tekanan kepada usahawan mikro yang terpaksa memikirkan alternatif lain untuk menampung pelbagai kos operasi semasa menunggu tempoh kelulusan bantuan yang memakan masa.

“Kebanyakan mereka hanyalah mempunyai simpanan kurang dari tiga bulan dan sepenuhnya bergantung kepada aliran tunai perniagaan. Apabila berlangsungnya PKP, operasi terpaksa dihentikan dan segala aliran tunai terhenti.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyediakan bantuan pinjaman perniagaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Fairuz turut menjelaskan terdapat satu permasalahan yang mendasar dalam hal ini melibatkan prosedur bank yang perlu mengikuti segala ‘Standard Operating Procedure (SOP)’ yang ditetapkan oleh BNM dan prosedur yang terlalu ketat ini telah mengurangkan kualifikasi pemohon.

“Sebahagian besar usahawan mikro ini menghadapi kesukaran untuk melepasi saringan ‘scoring sheet’ yang telah ditetapkan oleh bank-bank dengan seliaan BNM. Maka…dengan ketiadaan kelonggaran regulasi tersebut, segala proses kelulusan bantuan pinjaman mengambil tempoh yang panjang dan ada juga yang gagal melepasinya.

“Kerajaan perlu mengkaji semula faktor regulasi BNM yang kelihatannya perlu dilonggarkan mengikut keperluan semasa, terutamanya diwaktu kecemasan sebegini.

“Ini penting demi memudahkan dan mempercepatkan proses kelulusan pinjaman para usahawan mikro dalam memastikan tiada peniaga yang muflis dan operasi jangka panjang dapat dilangsungkan,” ujarnya.– UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.