COVID-19: Bilangan Pesakit Sembuh Terus Meningkat; PKP Diperketat

KUALA LUMPUR, 17 April – Jumlah pesakit COVID-19 yang pulih dan dibenarkan pulang terus mengatasi jumlah kes baharu bagi tempoh empat hari berturut-turut sehingga Khamis 15 April dan angka tertinggi dicatat pada Selasa 14 April iaitu 202 orang.

Angka kes pesakit pulih semalam (Khamis) ialah 119 orang menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang discaj, 2,766 iaitu 53.4 peratus daripada jumlah pesakit yang pulih. Jumlah kes baharu pula ialah 110 kes, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,182.

Seramai 168 orang pesakit discaj pada hari Isnin berbanding 134 kes baharu sementara Rabu mencatat 169 orang pesakit pulih berbanding 85 kes baharu.

Jumlah kes baharu dua angka yang dicatat pada Rabu adalah yang pertama setelah kira-kira sebulan kes baharu COVID-19 mencatat tiga angka, bermula pada 15 Mac iaitu 190 kes.

Setakat Khamis 16 April, Malaysia mencatat 84 kematian, iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lebih daripada 60 peratus pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di negara ini berumur 60 tahun ke atas.

Satu kematian direkod pada Khamis yang melibatkan kes ke-4711, seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

Seramai 56 orang pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi dan daripada bilangan itu, 29 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

TEMPOH PKP DILANJUT TEMPOH KRITIKAL

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan kali ketiga, bermula 15 April sehingga 28 April adalah tempoh kritikal untuk melihat sama ada usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, dapat dicapai.

Fasa satu PKP berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac, sementara fasa kedua pula bermula 1 April dan tamat 14 April.

Tidak ada lagi kompromi bagi mereka yang ingkar PKP bermula 15 April. Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang masih ingkar mengikut arahan PKP.

Pesalah akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan kedua bawah akta ini ia membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya. Sebanyak 13 buah pusat akademi penjara akan dijadikan pusat tahanan bagi pesalah yang ingkar PKP bagi mengelakkan berlakukan kesesakan di penjara.

Selain, PKP, Kerajaan juga meletakkan beberapa kawasan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Terkini ialah kawasan sekitar Masjid India, kawasan PKPD kelima, yang turut melibatkan juga Jalan Mushi Abdullah, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

Langkah tersebut dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan mendapati pertambahan jumlah kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

Kawasan PKPD yang lain ialah Menara City One di Jalan Mushi Abdullah, Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur; Kluang, Johor dan Hulu Langat, Selangor.

ZON MERAH

Sehingga pukul 12 tengahari 16 April, zon merah Covid-19 di seluruh negara bertambah satu lagi kepada 28. Terkini diisytihar zon merah ialah Kota Kinabalu, Sabah. Sebelum ini Daerah Muar, Johor, selepas kawasan berkenaan merekodkan 46 kes positif Covid-19.

Kawasan lain zon merah ialah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak, Sepang, dan Hulu Selangor. Di Kuala Lumpur , Lembah Pantai, Kepong, Titiwangsa dan Cheras.

Di Johor, Kluang, Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Lain-lain kawasan zon merah di Semenanjung ialah Putrajaya, Jasin, Melaka Tengah, Rembau, Seremban, Hilir Perak, Kinta, Kuantan, Jerantut, Kota Bharu .

Di Sabah, Tawau sementara di Sarawak, Kuching dan Kota Samarahan.

AMARAN WHO DAN IMF

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan wabak penyakit COVID-19 yang dilaporkan merebak ke lebih 200 buah negara dan kawasan di seluruh dunia sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1, lebih dikenali sebagai Selesema babi (Swine Flu).

Wabak yang berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan demikian di Geneva, Switzerland Selasa lepas. Beliau turut memberi amaran jumlah kematian akibat Covid-19 sudah melebihi angka yang dicatatkan akibat H1N1, dengan anggaran sepuluh kali ganda lebih tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa vaksin diperlukan untuk menyekat penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak The Great Depression (1930an), dengan negara paling terbeban ialah negara miskin dunia.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, membuat kenyataan itu dalam ucapannya bertajuk “Confronting the Crisis: Priorities for the Global Economy” sebelum Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia yang akan dilangsungkan secara maya (virtual) pada 17-19 April.

SITUASI GLOBAL COVID-19

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 2,182,823 dan angka kematian 145,551 orang. Jumlah pesakit yang sembuh ialah 547,589 orang.

Amerika Syarikat terus mencatat pertambahan kes yang besar sejak penyakit COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan lepas dan dilaporkan sudah merebak ke semua 50 buah negeri.

Setakat ini, sebanyak 678,144 kes dilaporkan dengan angka kematian melonjak kepada 34,641 orang. Daripada jumlah kematian itu, lebih 10,000 kes dilaporkan di New York, pusat merebaknya wabak COVID-19 di Amerika Syarikat.

Sepanyol menduduki tempat kedua dengan kes COVID-19 paling tinggi iaitu 184,948 kes dengan 19,315 kematian; dikuti Itali 168,941 kes dengan 22,170 kematian dan Perancis 165,027 kes dengan 17,920 kematian.

China pula mencatat 82,367 kes dengan 3,342 kematian.

Di negara-negara jiran Malaysia, sesetengah negara menunjukkan peningkatan wabak penyakit COVID-19 yang ketara, seperti berikut:-

Brunei Darussalam 136 kes (1 kematian ), Filipina 5,660 kes; (362 kematian ), Indonesia 5,516 kes; (496 kematian), Kemboja 122 kes (0 kematian), Laos 19 (0 kematian) , Myanmar 85 kes (4 kematian), Singapura 4,427 kes (10 kematian), Thailand 2,672 kes (46 kematian) dan Vietnam 268 kes kematian (0)

Negara lain dunia yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk:-

Jerman 137,698 kes (4,052 kematian); United Kingdom 103,093 kes (13,729 kematian), Iran 77,995 kes (4,869 kematian), Turki 74,193 kes (1,643 kematian), Belgium 34,809 kes (4,857 kematian), Brazil 30,683 kes (1,947 kematian), Kanada 30,106 kes (1,195 kematian), Belanda 29,214 kes (3,315 kematian), Rusia 27,938 kes (232 kematian), Switzerland 26,732 kes (1,281 kematian), Portugal 18,841 kes (629 kematian), Austria 14,476 kes (410 kematian), India 13,430 kes (448 kematian), Ireland 13,271 kes (486 kematian) dan Israel 12,758 kes (142 kematian).

LATAR BELAKANG COVID-19

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.