Program I-Hya Ramadan Bantu Golongan Memerlukan – Annuar

KUALA LUMPUR, 16 April – Walau tanpa majlis berbuka puasa atau program keramaian sempena bulan Ramadan tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan menerusi program I-hya Ramadan yang akan dilancarkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), 22 April ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata program itu diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat yang hendak melakukan ibadat di bulan Ramadan dengan memberi sumbangan berbuka puasa atau sahur.

“Kami menyediakan menu berbuka puasa atau sahur di laman web dan mempunyai tiga kaedah untuk membuat sumbangan kepada golongan memerlukan seperti rumah anak yatim, gelandangan ataupun mereka yang memerlukan.

“Selain itu, senarai badan kebajikan juga akan disediakan untuk dipilih ketika melakukan tempahan menerusi laman web YWP,” katanya ketika siaran langsung di laman Facebook hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata mereka yang ingin menyumbang boleh melakukannya menerusi pakej tunai, pakej sumbangan atau pakej pilihan penyumbang sendiri bernilai RM10 seorang, dengan jumlah minimum RM200 atau 20 orang untuk setiap tempahan.

“Orang ramai boleh buat tempahan mulai 22 April di laman web yayasan. Bayaran boleh dibuat menerusi kad kredit, pemindahan dalam talian, atau menggunakan kaedah e-wallet dengan minimum 20 pek makanan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membatalkan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu, tempah dan ambil serta e-hailing, selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

“Kami putuskan untuk semuanya tidak diadakan. Kita mahu bagi isyarat kepada rakyat bahawa PKP mesti dipatuhi, peperangan masih belum tamat, perang lawan COVID-19 belum lagi menang.

“Kita ingin kurangkan sebarang bentuk pergerakan termasuk penjajaan, jadi keadaan tidak mengizinkan kita menjalankan perniagaan secara menjaja. Diharapkan melalui bulan Ramadan, ketiadaan e-bazar dapat bantu memutuskan rantaian itu dan menjayakan PKP,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.