Perkhidmatan Tidak Penting Ambil Kesempatan Mula Operasi – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 16 April – Jumlah kenderaan di jalan raya kelihatan bertambah sejak semalam, disebabkan ada perkhidmatan tidak penting yang mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau menegaskan semua industri perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlebih dahulu sebelum memulakan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PKP belum ditarik balik, masih berterusan untuk PKP (fasa) ketiga (15 hingga 28 April) dan sesiapa yang ingkar tetap akan dikenakan (tindakan) undang-undang di bawah PKP,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai PKP di sini hari ini.

“Kehadiran begitu banyak kenderaan di jalan raya ini seolah-olah rakyat sudah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksanakan dan mereka masih tertakluk kepada undang-undang di bawah PKP,” tambahnya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pihak polis benar-benar serius membuat pemeriksaan ke atas setiap kenderaan di beberapa sekatan jalan raya, yang memang mengakibatkan kesesakan.

“Kita dimaklumkan oleh pihak polis, walau kenderaan banyak, mereka tetap akan membuat pemeriksaan ketat dan soalan-soalan ditanya (kepada pemandu) walaupun lewat (lambat) bagi satu-satu kenderaan bergerak (melepasi sekatan). Dia (polis) tidak peduli,” tegasnya.

Ismail Sabri berkata semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 558,548 kenderaan, di samping membuat 56,052 pemeriksaan mengejut di serata tempat, termasuk ke atas 6,364 premis.

“PDRM telah menangkap 1,315 individu kerana ingkar PKP, merangkumi 1,226 individu yang direman dan 89 individu dijamin polis. Sebanyak 312 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan 11,017 individu ditahan kerana ingkar PKP sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lepas hingga semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pergerakan besar-besaran balik kampung sempena awal Ramadan yang dijangka jatuh pada 24 April, beliau menegaskan undang-undang PKP di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit tetap berjalan sehingga 28 April, termasuk tidak dibenarkan membuat perjalanan merentasi sempadan negeri.

“Walau bulan Ramadan sekalipun, ia masih tertakluk kepada undang-undang yang saya sebutkan tadi, dan bagi PKP fasa tiga, undang-undang yang telah kita laksanakan semasa PKP fasa satu dan PKP fasa dua tetap diteruskan. Jadi pergerakan beramai-ramai pulang ke kampung juga tidak dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun, kerajaan akan berbincang berkenaan prosedur selepas PKP fasa tiga berakhir.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memandang serius penularan berita palsu dua hari lepas yang mendakwa kononnya PKP fasa tiga tidak diwartakan.

“… sedangkan jelas bahawa PKP tiga diwartakan. Jadi kononnya sebab tak warta, polis tiada kuasa buat tangkapan. Ini merupakan berita palsu,” katanya sambil menambah tindakan akan diambil ke atas penyebar berita palsu itu.

Secara keseluruhannya, Ismail Sabri berkata PDRM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19 dan daripada jumlah itu 152 kes masih dalam siasatan, 24 telah dituduh di mahkamah dan 13 telah mengaku bersalah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.