Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan Dipacu Aktiviti Swasta, Domestik

KUALA LUMPUR, 16 April – Ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan pada 2019, didukung oleh kekuatan kemampanan aktiviti sektor swasta domestik meskipun dalam persekitaran luar yang mencabar.

Di sebalik senario itu, pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting membiayai ekonomi domestik dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana yang merentasi semua segmen pasaran, demikian menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini.

“Dari segi prestasi, pasaran bon domestik mencatatkan pulangan positif manakala pasaran ekuiti mengalami peralihan positif dalam sentimen terhadap syarikat permodalan kecil dan sederhana, terutamanya dalam sektor tenaga, pembinaan dan teknologi,” katanya.

Prestasi pasaran modal Malaysia pada tahun lepas juga sejajar dengan pasaran modal global yang mengakhiri 2019 pada tahap positif, di sebalik ketidaktentuan berterusan sepanjang tahun selain turut dibantu oleh keadaan kewangan global yang lebih akomodatif.

Bagi pasaran ekuiti, Indeks MSCI World mengakhiri 2019 dengan angka 25.2 peratus lebih tinggi (2018: -10.4 peratus) manakala Indeks MSCI EM meningkat 15.4 peratus (2018: -16.6 peratus).

Pasaran bon global juga mencatatkan pulangan positif sepanjang tahun disebabkan oleh kadar faedah global lebih rendah dan pengelakan risiko lebih tinggi yang mendorong hasil bon mencapai paras terendah sejak beberapa tahun.

Indeks Bon Kerajaan JPMorgan (JPM GBI) Global naik 3.9 peratus pada 2019 (2018: -1.2 peratus) sementara JPM GBI EM meningkat 12.9 peratus (2018: 4.9 peratus)

“Pertumbuhan ekonomi global semakin perlahan pada 2019 disebabkan oleh kelembapan seragam dalam kebanyakan ekonomi negara maju dan pesat membangun.

“Ini didorong terutamanya oleh kelemahan ketara dalam aktiviti pembuatan dan perdagangan global di tengah-tengah pertikaian perdagangan yang berterusan dan ketidakpastian geopolitik sepanjang tahun.”

Menurut SC, kelembapan ekonomi global juga menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terus menurunkan unjuran pertumbuhan global.

Pada Oktober 2019, ia menurunkan unjuran pertumbuhan global buat kali kelima berturut-turut sejak April 2018 kepada 3.0 peratus pada 2019 – paling lemah sejak Krisis Kewangan Global (GFC).

Walau bagaimanapun, berbeza dengan sektor pembuatan, sektor perkhidmatan masih agak berdaya tahan di seluruh dunia, terutamanya dalam Ekonomi Maju (AE), disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif dan pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang berterusan.

Ketidakpastian dasar global terus menjejaskan prestasi ekonomi global dan mempengaruhi prestasi pasaran kewangan global pada tahun 2019. Ini dicerminkan oleh pengukur ketidakpastian dasar yang mencapai tahap tertinggi pada 2019.

Khususnya, Indeks Ketidakpastian Perdagangan Dunia – ukuran ketidakpastian dasar perdagangan global – naik hampir sepuluh kali ganda pada suku tahun keempat 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Imbas kembali, tahun 2019 bermula dengan rundingan damai perdagangan sementara antara Amerika Syarikat (AS)-China sejak Disember 2018, tetapi perang tarif meningkat dengan mendadak antara Mei dan Ogos 2019.

Selain tarif, AS juga telah mengenakan sekatan perniagaan ke atas syarikat teknologi China menerusi senarai entiti pada Mei dan mengisytiharkan China sebagai pemanipulasi mata wang pada Ogos.

Rundingan damai dua negara tersebut bagaimanapun membuahkan hasil yang positif pada bulan September apabila AS-China mencapai persetujuan dengan perjanjian perdagangan fasa satu pada pertengahan Disember.

Namun, sepanjang 2019 tidak hanya menyaksikan ketegangan perdagangan AS-China, tetapi juga antara AS dan rakan perdagangan utamanya di Eropah dan Amerika Latin serta negara-negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.

Selain itu, lebih separuh daripada ekonomi di seluruh dunia mengenakan langkah monetari yang lebih akomodatif pada 2019.

Melangkah ke tahun 2020, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang baik.

“Walaupun pasaran modal domestik terus dipengaruhi oleh perkembangan utama luar negara, ia dijangka terus berdaya tahan dan teratur, didukung oleh asas makroekonomi Malaysia yang kukuh, kecairan domestik yang tinggi dan infrastruktur pasaran modal yang mantap,” kata SC. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.