13 Akademi Penjara Diwarta Pusat Tahanan Pesalah PKP

PUTRAJAYA, 15 April – Kerajaan memutuskan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan bagi pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara sehingga jarak sosial tidak dapat dilaksanakan.

“Oleh kerana kita mempunyai 13 akademi penjara yang kita tukarkan kepada pusat tahanan pesalah PKP, kita boleh menyelesaikan isu berkaitan jarak sosial dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media harian PKP di sini, hari ini.

Katanya, meskipun pesalah PKP ditahan di akademi berkenaan, peraturan dan undang-undangnya adalah sama dengan penjara.

“Bukan bermakna berada di akademi penjara, makanan bermewah-mewah. Tidak, ia mengikut SOP (prosedur operasi standard) penjara biasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata perincian dari sudut perundangan akan dibincang secara lanjut bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PDRM telah menahan 612 individu kerana ingkar PKP, semalam.

“Ia merangkumi 590 individu yang direman dan 15 individu dijamin polis. Sebanyak 337 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya.

Ini menjadikan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,702 individu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.