PKPD Kelima Di Masjid India Dan Kawasan Sekitar – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 14 April – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India di sini dan kawasan sekitarnya mulai hari ini hingga 28 April.

PKPD kelima itu melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD terbaru itu diputuskan atas nasihat Menteri Kesihatan.

“Semua penghuni kawasan yang terbabit diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada KKM (Kementerian Kesihatan) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media harian PKP di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan PKPD di tiga kawasan iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Turut dilanjutkan ialah PKPD Menara City One di Jalan Munshi Abdullah dan PKPD di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

“PKPD ini dilanjutkan lagi sehingga 28 April berikutan penambahan kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk,” katanya.

Bagaimanapun, katanya PKPD Batu 21-23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat ditamatkan malam tadi kecuali Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, di mana pelaksanaan PKPD dilanjutkan sehingga 28 April.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat telah dicadangkan bagi PKP fasa ketiga terutama kawasan yang diwartakan sebagai zon merah.

Katanya isu utama pada ketika ini ialah mengawal jumlah penduduk yang keluar dari rumah.

“Sebenarnya beberapa SOP telah pun kita cadangkan. Bagaimanapun kita sentiasa perlukan pandangan KKM (Kementerian Kesihatan) dan pihak polis juga. Saya percaya akan ada penambahan lebih banyak sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan penduduk,” katanya lagi.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.