PKP: Tiada Lagi Kompaun, Terus Ke Mahkamah – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 14 April – Esok bermulanya fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan mulai esok juga sesiapa yang masih ingkar PKP akan terus ditahan untuk dikenakan tindakan mahkamah.

Tumpuan kini tidak lagi pada kompaun seperti fasa pertama dan kedua PKP, sebaliknya mereka yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah untuk hukuman yang lebih berat, termasuk dipenjara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan berdasarkan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan kesalahan seterusnya penjara lima tahun.

“Dulu kalau fokus kita memberi kompaun (mereka yang ingkar PKP) tetapi sekarang ini kita tidak meletakkan itu sebagai keutamaan. Ramai dilihat tidak takut, semakin hari semakin meningkat jumlah yang dikompaun,” katanya pada sidang akhbar harian PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah kumulatif yang ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 9,090 dan keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 4,036.

Ismail Sabri berkata seramai 1,374 orang ditahan kerana ingkar PKP dan daripada jumlah itu seramai 931 orang dikenakan kompaun RM1,000 manakala 418 individu direman dan 25 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa jika mereka dihadapkan ke mahkamah, mereka akan direman dan akan berada dalam penjara untuk sehari dua.

“Jadi tidak lagi (seperti) sekarang, diberi kompaun mereka balik, bayar dalam masa dua minggu dan saya percaya anggapan daripada rakyat kita ialah seperti dapat saman kesalahan lalu lintas,” katanya sambil menegaskan bahawa tiada lagi kompromi terhadap mereka yang ingkar PKP.

Ditanya mengenai peningkatan kenderaan di jalan raya sejak kebelakangan ini, Ismail Sabri berkata: “Saya dimaklumkan oleh PDRM bahawa semalam ramai keluar dan sebagainya.

“Itu betul …lebih banyak daripada kebiasaan sebab saya difahamkan ramai yang ke bank untuk mengeluarkan wang mereka daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diberi kerajaan”.

Beliau berkata sememangnya kerajaan menasihati orang ramai untuk menyemak secara dalam talian, namun masih ramai yang memilih untuk keluar rumah terutama di luar bandar yang tidak menggunakan perkhidmatan dalam talian.

“Pihak polis bersetuju pematuhan itu tidak sampai ke tahap yang disasarkan kerajaan …ramai lagi yang agaknya lupa (PKP) atau sengaja lupa (dan) masih lagi keluar seperti biasa,” katanya.

Mengenai perkembangan operasi sanitasi awam COVID-19, Ismail Sabri berkata semalam sebanyak 174 operasi sanitasi meliputi 70 zon di 12 negeri, termasuk 37 kawasan di Johor dan 21 kawasan di Terengganu, melibatkan 141 bangunan kerajaan, 63 tempat awam, 61 pusat perniagaan dan 15 pasar raya.

Semalam juga sebanyak sembilan kawasan gunasama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor telah disanitasi menjadikan jumlah keseluruhan 35 kawasan gunasama zon merah di Selangor telah selesai disanitasi, katanya.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhan sebanyak 1,701 sanitasi telah dilakukan di 97 zon termasuk di 26 zon merah sejak 30 Mac lalu, antaranya 1,203 bangunan kerajaan, 701 tempat awam, 736 pusat perniagaan dan 139 pasar raya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.