PKP Fasa 3: Penentu Kemenangan Peperangan Melawan COVID-19 – Fairuz

KUALA LUMPUR, 12 APRIL – Selepas Kerajaan diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN), Malaysia merupakan antara negara paling awal di Asia Tenggara yang mengambil langkah proaktif untuk menutup sempadan dan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu seawal 18 Mac.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda, Fairuz Edzuan Jamaludin, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Indonesia dan Singapura, peningkatan harian mereka kini lebih tinggi dari Malaysia dan angka keseluruhan juga sudah menghampiri Malaysia.

“Setakat ini, Indonesia tidak lagi mengenakan sebarang langkah ‘lockdown’ manakala Singapura pula bertindak lambat, hanya melaksanakan ‘lockdown’ pada 7 April lalu yang tidak terlalu ketat.

”Kini Malaysia juga sudah hampir memasuki fasa pemulihan seperti China, cabaran besar kini hanyalah melibatkan kes-kes jangkitan import yang baru pulang dari luar negara. Ini adalah bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa pentingnya PKP dilaksana dan dipatuhi.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, bertahan dan berpuasalah seketika dari sebarang aktiviti luar. Tidak lama… hanya untuk tempoh dua minggu lagi kita kini hanya tinggal selangkah lagi untuk menang peperangan ini,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Fairuz yang juga Pengerusi Sekretariat Tunas Muda mengharapkan agar rakyat berbanyak bersabar dan mencari alternatif lain yang bermanfaat sepanjang tempoh PKP ini.

“Bagi yang sudah sesak sampai paras hidung… buatlah alternatif lain misalnya berniaga secara atas talian, menjadi ‘rider’ penghantar makanan dan sebagainya.

“Saya juga menyarankan agar kerajaan membantu mereka yang telah terputus bekalan makanan terutamanya kepada peniga kecil dan pekerja sambilan harian yang tidak atau belum lagi mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Tidak salah jika kerajaan keluarkan lagi BPN khas untuk bantuan makanan kepada rakyat yang memerlukan.

“Sama-samalah istiqamah untuk meneruskan baki perjuangan memerangi COVID-19. Semoga Allah permudahkan segala urusan rakyat Malaysia,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.