KPDNHEP Laksana Skim Harga Maksimum Sepanjang PKP Fasa Ketiga – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 12 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum bagi membendung kenaikan harga barang keperluan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menaikan harga barang keperluan.

“Mungkin ada peniaga yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan menaikkan harga, oleh itu, keputusan mesyuarat hari ini, KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum.

“Biasanya Skim Kawalan Harga atau Skim Harga Maksimum hanya dilaksana sewaktu musim perayaan, tetapi kita telah putuskan tadi tak perlu tunggu musim perayaan, masuk saja PKP (fasa) 3 Skim Harga Maksimum mesti dilaksanakan, senarai produk tersebut akan diumumkan KPDNHEP,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama Ismail Sabri berkata KPDNHEP menjalankan pemeriksaan khas terhadap barangan keperluan harian di seluruh negara bagi menentukan tahap adanya 25 jenis barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran.

Jelasnya, setakat semalam pemantauan khas telah dilaksanakan melalui 1,205 pemeriksaan melibatkan para peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

“Daripada pemeriksaan di premis runcit, hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil, di mana kedudukan adanya bekalan mencukupi termasuk bekalan topeng muka dan sanitiser,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP juga menerima sejumlah 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga dari 18 Mac sehingga 11 April melalui empat saluran utama iaitu WhatsApp (4,140) Sistem E-Aduan (1,766) talian Hotline (1,631) dan talian melalui Enforcement Command Center (608).

Ismail Sabri berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga memaklumkan bekalan barang keperluan basah dan kering terutamanya beras adalah lebih daripada mencukupi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.