Ingkar PKP, Kompaun RM1,000 Masih Kekal – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 12 April – Jumlah kompaun bagi pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih kekal pada kadar RM1,000, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 masih diguna pakai atas kesalahan tersebut dan sekiranya jumlah kompaun ingin dinaikkan, akta itu perlu dipinda di Parlimen.

“Memang ramai rakyat kita berpandangan kenapa ia rendah berbanding negara lain. Memang kita ada bincangkan perkara ini. Tetapi ia akta jelas dan peraturan jelas, bahawa hukumannya RM1,000. Jika ingin ubah, ia perlu dibawa ke Parlimen.

“Polis juga ada pilihan. Sama ada memberi kompaun atau bawa ke mahkamah. Maka hukuman penjara dan sebagainya ditentukan oleh mahkamah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri – menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 1,220 individu kerana ingkar PKP, merangkumi 854 individu dikenakan kompaun RM1,000 semalam.

Manakala 345 individu direman dan 21 individu lagi dijamin polis.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah 2,156 dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 11 April adalah sebanyak 8,125 individu,” katanya

Ismail Sabri berkata setakat semalam juga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan pemeriksaan ke atas 435,361 kenderaan di 783 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Sebanyak 48,123 pemeriksaan mengejut, katanya, telah diadakan di seluruh negara dengan 6,158 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi mengulangi bahawa pelaksanaan kuarantin wajib tetap dilaksanakan ke atas semua rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa darat, laut dan udara di seluruh negara.

Katanya sebagai contoh pintu masuk antarabangsa melalui jalan darat di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah selain melalui jalan laut seperti di Terminal Feri Stulang Laut, Johor dan Terminal Feri Sandakan di Sabah.

“Pelaksanaan kuarantin wajib ini adalah sama seperti yang dikenakan ke atas semua rakyat dan warga asing yang masuk ke negara ini melalui udara seperti melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa KKIA (Kota Kinabalu) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Pusat Kuarantin telah disediakan di semua pintu masuk antarabangsa, dan mereka akan disaring sebelum dikuarantin wajib,” katanya.

Beliau berkata setakat semalam sebanyak 163 pusat kuarantin beroperasi berbanding 156 pada hari sebelumnya dan 12,359 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 835 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib semalam, katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 1,413 operasi sanitasi awam COVID-19 di 89 zon termasuk di 25 Zon Merah sejak 30 Mac.

Katanya antara kawasan yang disanitasi, 987 bangunan kerajaan, 602 tempat awam, 599 pusat perniagaan dan 115 pasar raya.

“Semalam sebanyak 122 operasi sanitasi meliputi 51 zon di 13 negeri, termasuk 38 kawasan di Johor dan 23 kawasan di Pahang. Bangunan kerajaan (103), tempat awam (37) pusat perniagaan (71) dan pasar raya (lapan) telah disanitasi.

Satu Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 17 kawasan guna sama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor telah dinyahcemar menjadikan jumlah keseluruhan 38 PPR telah selesai disanitasi melibatkan 37,686 unit rumah, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.