Perlu Diberi Perhatian Serius… Ada Kegusaran Akan Wujud ‘Kluster Kedai Gunting Rambut’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 April – Meskipun kelonggaran kepada kluster kedai gunting rambut telah diberikan, jika ada di kalangan keluarga mampu melaksanakannya eloklah dilakukan di rumah, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini tegasnya perlu diberikan perhatian serius kerana kluster baharu yang berpunca daripada kluster gunting rambut telah wujud di Fukuoka, Jepun seperti mana yang dilaporkan oleh media tempatan Jepun.

“Beberapa langkah perlu disegerakan dengan prosedur operasi standard yang ketat dan terkawal bagi mengelakkan wujudnya kluster baru iaitu kluster kedai gunting rambut A,B,C dan seterusnya.

“Ada kegusaran akan wujud kluster kedai gunting rambut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuka kepada netizen untuk menyatakan pandangan di platform media sosialnya itu.

Antara komen pelayar maya di Facebook Ahmad Zahid itu, Mohd Ashrawi Mohd Radzali yang meminta kerajaan tarik semula kebenaran beroperasi.

“Sepatutnya tempoh lanjutan pkp ni kawalan pkp ni makin diperketatkan Dato’, bukan dilonggarkan. Sebab kita hanya ada masa 3 minggu ini sahaja untuk betul2 putuskan rantaian jangkitan kluster sedia ada dan elakkan kluster baharu muncul. Sia2 usaha selama ini kalau kluster baharu muncul.”

Begitu juga dengan pandangan Rahimie Mat “jgn benarkan beroperasi bt masa terdekat ni utk sektor2 yg agak tidak penting…Cthnya KEDAI GUNTING RAMBUT..DOBI..DAN LAIN LAIN YG DIANGGAP TIDAK BERAPA PENTING DLM FASA PKP NI…nt sia2 usaha PKP 1 n 2…tolonglah…stakat dua bulan rambut x potong rasanya masih belum bertukar lg dgn Rupa rambut Hantu Kak Limah Balik Rumah…jangan Hampakan Hasrat Rakyat terutamanya Barisan FRontLiner…”

Manakala pandangan bekas tukang gunting rambut pula yang menggunakan gelaran nama P.A. Cheli berkata: “Nasihat sy sebagai ex-barber, korang simpan je dulu rambut tu..atau botakkan sendiri dirumah kalau rimas sangat.

“Setiap pelanggan berisiko pembawa wabak covid. Dan setiap alatan yang kami gunakan tak mungkin dapat dibersihkan 100% setiap kali guntingan. Setiap helai rambut yang jatuh dilantai atau berterbangan di meja tak mungkin kami dapat bersihkan setiap kali.

“Senang cerita berisiko tinggi. Kawan-kawan saya pun tak sanggup ambil risiko untuk buka kedai walaupun masing2 tengah pokai. Dah la epf dengan socso majikan tak mencarum. Mereka betul2 terkesan sekarang. Korang tahan dulu. Baik sebulan rimas dengan rambut panjang, daripada sebulan nanti korang terlantar di hospital atau mati,” tegasnya.

Seorang lagi netizen, Zaini Rawi berkata dalam sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah menasihatkan semua industri menangguhkan terlebih dahulu operasi termasuk kedai gunting rambut dalam tempoh seminggu ini sehingga data-data menunjukkan negara berada dalam pemulihan.

Dilaporkan juga, selain saranan Dr Noor Hisham tersebut, pada sidang media harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk meneliti semula kebenaran beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk perkhidmatan gunting rambut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.